Ahad, 8 September 2019 | 8:30pm
Aksi penerjun negara, Nur Dhabitah melakukan terjunan pada Kejohanan Piala Terjun Asia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Giliran Dhabitah raih tiket ke Tokyo

 

KUALA LUMPUR: Penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri tampil cemerlang apabila menjadi penerjun keempat negara menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Ia susulan kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Piala Terjun Asia kelapan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Penerjun berumur 20 tahun itu bakal membuat penampilan keduanya di Sukan Olimpik selepas mengumpul 313.85 mata untuk merangkul pingat emas diikuti rakan senegara, Loh Zhiayi di tempat kedua (223.45 mata).

Sementara itu, penerjun Indonesia, Yasmin Linadini di tempat ketiga (191.30 mata). 

"Saya akui hari ini gementar kerana lihat penerjun lain turut memberikan saingan sengit namun mungkin kelebihan bertanding di tempat sendiri membantu saya," katanya ketika ditemui.

Dhabitah berkata dia berhasrat untuk meningkatkan darjah kesukaran terjunan menjelang temasya di Tokyo nanti bagi memberikan saingan sengit kepada penerjun dunia lain yang turut bersaing.

"Selepas ini saya dan Wendy (Ng) akan berusaha mendapatkan tiket ke Tokyo bagi acara 3m papan anjal seirama pula pada Piala Terjun Dunia FINA yang akan berlangsung di Tokyo pada April tahun hadapan," katanya. 

Sebelum ini, tiga penerjun wanita negara - Pandelela Rinong Pamg, Leong Mun Yee dan Wendy masing-masing sudah memperoleh tiket ke Tokyo 2020 apabila melayakkan diri menerusi Kejohanan Dunia FINA pada Julai lalu.

1106 dibaca
Berita Harian X