Isnin, 9 September 2019 | 11:09pm
KONTINJEN Daerah Kuala Terengganu menepati ramalan apabila dinobatkan juara keseluruhan temasya Sukan Terengganu 2019 (SUTERA2019), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000, piala pusingan dan piala iringan. - Foto Rozainah Zakaria

Kontinjen Kuala Terengganu juara keseluruhan SUTERA2019

KUALA NERUS: Kontinjen Daerah Kuala Terengganu menepati ramalan apabila dinobatkan juara keseluruhan temasya Sukan Terengganu 2019 (SUTERA2019), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000, piala pusingan dan piala iringan.

Secara keseluruhan, kontinjen digelar ‘lubuk emas’ kerana menghimpunkan ramai atlet berpengalaman itu meraih 67 pingat dengan pungutan 34 emas, 15 perak dan 18 gangsa.

Kontinjen Daerah Kuala Nerus yang meraih 57 pingat membabitkan 19 emas, 17 perak dan 21 gangsa, hanya berpuas hati di tempat kedua dengan menerima hadiah wang tunai RM45,000 serta piala iringan.

Tempat ketiga pula milik Kontinjen Daerah Dungun yang merangkul 41 pingat, iaitu 11 emas, 16 perak dan 14 gangsa, serta menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan piala iringan.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pada majlis penutupan SUTERA2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu.

Atlet olahraga, Abdul Wafiy Roslan, 20, dan atlet berbasikal, Ezzatie Fifiyana Shazwanie Hisham, 20, kedua-dua juga daripada Kontinjen Kuala Terengganu pula masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati SUTERA2019.

Abdul Wafiy yang juga atlet kebangsaan bakal mewakili negara ke temasya Sukan SEA, November depan, muncul Olahragawan SUTERA2019 susulan kejayaannya mengutip empat emas melalui acara larian 200 meter (m), 400m, 4x100m dan 4x400m.

Ezzatie Fifiyana Shazwanie yang menjadi sandaran utama kontinjen Terengganu pada Sukan Malaysia 2020 (SUKMA2020) bagi acara berbasikal lebuh raya dan trek pula menggondol tiga emas dan dua perak melalui saingan berbasikal individu SUTERA2019.

Kecemerlangan beliau terserlah apabila meraih emas dalam 500 meter ‘time trial’, lepas beramai-ramai individu dan kriterium, manakala pingat perak bagi ujian masa perseorangan dan 200 meter ‘sprint’.

Olahrawagan dan Olahragawati masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta piala iringan.

Sebanyak lapan kontinjen menyertai SUTERA2019, iaitu Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Kemaman, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu, selain kontinjen jemputan, Kelantan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan bendera kejohanan dan buku manual pengelolaan SUTERA kepada Majlis Sukan Daerah Kuala Nerus yang bakal menjadi tuan rumah temasya sukan itu pada 2021.

Temasya sukan dwitahunan itu yang julung kali diadakan bermula tahun ini, menghimpunkan 1,545 atlet daripada lapan daerah bertanding, bertujuan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Ia juga menjadi platform pertama untuk Kerajaan Terengganu memperkenalkan pelaksanaan sukan patuh syariah yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai tahun depan.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, SUTERA2019 berjaya mencapai matlamat mencungkil bakat sukan baharu dan menerapkan konsep sukan patuh syariah dalam kalangan atlet.

Beliau berkata, walaupun bajet penganjuran SUTERA2019 dikurangkan kepada RM750,000 berbanding RM1 juta yang ditetapkan sebelum ini, temasya sukan itu tetap berjalan lancar seperti dirancang.

“Alhamdulillah, kita sangat gembira kerana temasya sukan julung kali ini berjaya diadakan tanpa sebarang protes atau masalah besar, walaupun dalam keadaan bajet terpaksa dikurangkan.

“Insya-Allah pada 2021, kita dapat menyaksikan Kuala Nerus menjadi tuan rumah SUTERA dan kita akan memperbaiki sebarang kekurangan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan SUTERA2019.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri berbesar hati kerana atlet bukan Islam yang menyertai SUTERA2019 turut menyambut baik dan menghormati peraturan sukan patuh syariah yang mahu diperkenal serta diterapkan oleh kerajaan negeri.

“Walaupun konsep pemakaian sopan dan patuh syariah itu subjektif bagi mereka, atlet bukan Islam terbabit menghormati garis panduan ditetapkan.

“Kita yakin ia adalah satu pembuka jalan sebelum kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan ini sepenuhnya pada tahun depan,” katanya.

521 dibaca
Berita Harian X