Selasa, 10 September 2019 | 12:03pm
MOHAMAD Sukri Abdul Mutalib

Sukri yakin Malaysian Tigers mampu kejutkan GB

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan hoki lelaki kebangsaan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib yakin skuad Malaysian Tigers mampu mencipta kejutan ke atas Great Britain, dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia yang baru melonjak satu tempat ke kedudukan ke-11 dunia pada Ahad, diberikan laluan sukar apabila diundi menentang pemenang pingat emas Olimpik sebanyak tiga kali itu, berbanding negara lain seperti Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada majlis undian di Switzerland, malam tadi.

Selain berdepan pasukan kuat, pemain negara juga terpaksa menghadapi perbezaan waktu selama tujuh jam dan cuaca permulaan musim sejuk, apabila beraksi di Lee Valley Hockey and Tennis Centre, London pada 2 dan 3 November ini, ketika suhu menjunam ke paras bawah 15 darjah Celsius.

Bagaimanapun, Sukri mahu rakan sepasukannya terus memperagakan prestasi sama ketika Jelajah Eropah bulan lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers mengikat England 3-3.

Untuk saingan Sukan Olimpik, pasukan Great Britain akan disertai majoriti pemain dari pasukan nombor tujuh dunia England, Wales (18) dan Scotland (19).

“Kita ada beberapa aspek positif yang kita boleh terapkan dalam pasukan. Sebelum ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengambil alih, kita agak bermasalah apabila bertemu pasukan Eropah, terutamanya Great Britain, tetapi pada tahun ini, kita berjaya rapatkan jurang dengan England.

“Saya rasa kita dah semakin memahami struktur permainan yang ingin diterapkan oleh Roelant ketika ini. Saya yakin kita dapat mengulangi pencapaian layak ke Piala Dunia 2018 secara merit di London (menerusi Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia) pada kali ini,” katanya.

Malaysia meraih kelayakan ke Piala Dunia selepas menamatkan kempen di kedudukan empat teratas, namun skuad negara mengalami kekalahan 7-3 pada peringkat kumpulan dan 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kepada tuan rumah, England ketika itu.

Sukri turut memuji pemain muda seperti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi yang telah menunjukkan prestasi baik apabila diturunkan mengisi kekosongan, selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Sementara itu, Roelant tidak mahu memikirkan sangat mengenai rekod pertemuan terdahulu, malah mahu berusaha mencipta sejarah baharu.

“Kita tahu apa yang perlu dilakukan dan kita ada kira-kira sebulan setengah untuk bersedia. Great Britain satu pasukan yang amat bagus, tetapi setiap pasukan akan mempunyai sesuatu di mana kita boleh gunakannya, dan itu yang kita perlu kaji sekarang.

“Kita bermain dalam kejohanan Empat Negara di Sepanyol dan saya telah lihat mereka bermain di Kejohanan Eropah. Jadi kita mempunyai banyak informasi untuk kajian dan menyediakan diri sebaik mungkin.

“Saya dan para pemain percaya kepada peluang yang kita ada. Jika kita tidak percaya, lebih baik kami tak pergi sana, duduk di Malaysia sahaja.

“Saya rasa England tidak akan membuat pertukaran yang besar, mungkin tiga pemain dari Scotland dan Wales mungkin dipanggil, termasuk pemain dari Scotland Alan Forsyth,” katanya.

Skuad negara akan berlepas ke Korea Selatan pada 19 September ini untuk empat aksi ujian menentang pasukan itu, dan dijangka bertolak ke Eropah awal dua minggu, sebelum aksi kelayakan untuk mengadakan aksi pemanas badan menentang mana-mana pasukan di benua itu seperti Perancis, Sepanyol, Jerman atau Belanda. – BERNAMA

 

507 dibaca
Berita Harian X