Selasa, 10 September 2019 | 10:04pm
Atlet Silat Malaysia, Muhammad Faizul M Nasir. - NSTP/Azhar Ramli

Faizul tekad lakar hatrik emas di Filipina

KUALA LUMPUR: Pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir menegaskan tidak mahu berfikir mengenai pengadil perlawanan sepanjang Sukan SEA Filipina, kerana bimbang bakal menggangu persiapannya bagi menghadapi temasya terbesar di Asia Tenggara itu.

Sebaliknya, dia tekad untuk menumpukan kepada usaha meraih hatrik emas di temasya berkenaan.

“Apa paling penting adalah persembahan yang bakal saya tunjukkan. Juri itu perkara kedua dan saya tidak mahu terlalu fikirkan mereka. Yang saya mahu adalah kemenangan mutlak. Jadi tidak ada perkara yang boleh diubah.

“Untuk acara saya iaitu Putra Kelas B (50-55kg), saya jangka bakal mendapat tentangan sengit daripada pesilat Singapura, Hazim Yusli dan Hidayat Limonu dari Indonesia,” katanya pada sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Faizul berkata meskipun tanpa pembabitan juara dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir, dia tetap akan memberi cabaran sekali gus menampilkan keupayaan dirinya.

Malah dia juga mahu mengekalkan rekod bersih di pentas Sukan SEA selepas berjaya meraih dua emas dalam dua edisi sebelum ini.

"Walaupun tanpa kehadiran juara dunia, saya dan pasukan mahu buktikan tanpa kelibat mereka kami juga mampu cemerlang. Sepanjang dua kali kemenangan, mereka bersama saya tapi tidak mustahil tanpa kelibat mereka saya dan pelapis baru tidak boleh buat.

“Kami akan buktikan keupayaan kami. Apa yang penting adalah mengawal emosi,“ katanya.

Mohd Al-Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir tidak menyertai kejohanan terbesar Asia Tenggara itu susulan tuan rumah tidak menyenaraikan acara mereka.

Selain Faizul, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menyenaraikan empat lagi atlet bagi kategori silat olahraga iaitu Muhammad Khairi Adib Azhar, Zulfazly Zulfakar, Nor Farah Mazlan dan Nurul Khaiza Kharudin yang akan bertanding dalam lima acara.

Bagi silat seni yang menawarkan empat pingat emas, tujuh atlet disenaraikan iaitu Luqman Laji, Mohd Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga, Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah, Nashrul Edzam Mohd Asri dan Nur Syafiqah Hamzah.

Filipina hanya mempertandingkan sembilan acara berbanding 20 acara pada edisi lepas di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Sebagai persediaan sebelum ke Sukan SEA pasukan negara akan menyertai Kejohanan Silat Terbuka Malaysia di Stadium Titiwangsa, di sini, pada 25 hingga 29 September ini sebelum pertandingan percubaan di Filipina dari 20 hingga 26 Oktober.

Berita Harian X