Selasa, 17 September 2019 | 5:33pm
PEMAIN Hoki Kebangsaan, (dari kiri) Siti Zulaikha Hussin, Nuraini Rashid, Farah Ayuni Yahya dan Fatin Syafika Mahd Sukri memperagakan tudung Sports Hijab pada majlis pelancaran Sports Hijab yang diadakan di Al-Ikhsan, The Curve. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Nuraini, Farah lega dapat pelepasan kelab di England

KUALA LUMPUR: Pertahanan hoki wanita negara, Nuraini Rashid dan penjaga gol, Farah Ayuni Yahya tetap akan mewarnai kancah Piala Razak 2019 meskipun perlu bergegas ke England selepas itu.

Dua tonggak itu antara 12 pemain Malaysian Tigress 'diborong' kelab Eropah dengan sebahagian besarnya bertolak ke sana selewat-lewatnya Ahad ini. Ia bertembung dengan tarikh Piala Razak yang menyingkap tirainya pada Jumaat ini, sekali gus menyaksikan sebahagian besar pemain ke Eropah terlepas peluang beraksi.

Namun tidak bagi Nuraini dan Farah apabila mereka mendapat pelepasan daripada East Grinstead (kelab England) untuk melaporkan diri selepas 30 September ini, hanya dua hari selepas kancah tertua negara itu melabuhkan tirainya.

Farah, 30, berkata fokusnya ketika ini adalah bersama pasukan majikannya, PDRM bagi menghadapi kempen Piala Razak.

"Untuk minggu ini kami sudah diberi pelepasan oleh ketua jurulatih negara, Dhaarma (Raj Abdullah) untuk menyertai pasukan masing-masing.

"Jadi, fokus saya ketika ini adalah untuk membantu pasukan saya PDRM memperoleh keputusan baik dalam Piala Razak kali ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran hijab muslimah keluaran Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd di The Curve, Mutiara Damansara, dekat sini, hari ini.

Bagi Nuraini pula, dia akan memperkuatkan cabaran Johor bersama penyerang muda negara, Siti Zulaikha Hussin selepas pasukan negeri kelahirannya Pahang tidak mengambil bahagian. Setakat ini, enam pemain negara sudah ke Jerman beraksi bersama Wespen Zehlendorfer dan Bremer HC, disusuli empat lagi ke Itali Ahad ini.

Sementara itu, mengulas Sport Hijab, Farah mengakui betapa hijab yang baharu diperkenalkan Al-Ikhsan itu sebagai memenuhi citarasa atlet sepertinya.

"Jenis kain Sport Hijab ini sangat sesuai dengan kegunaan lasak atlet. Ia menyerap peluh selain boleh digunakan ketika cuaca sejuk mahupun panas," katanya.

Berita Harian X