Khamis, 19 September 2019 | 9:50pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini. - Foto Rosela Ismail

Ikut piawaian MSN, ISN: Syed Saddiq

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menasihatkan mana-mana penganjur yang berhasrat menganjurkan acara sukan, mengikut piawaian berkaitan jerebu yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, adalah menjadi dasar kementeriannya menyerahkan keputusan berhubung sebarang penganjuran acara sukan kepada pihak berkenaan. 

“Sebab itu kita menasihatkan supaya mengikut piawaian ditetapkan pihak MSN dan ISN, sebagai contoh ada juga atlet yang mungkin terkesan khususnya apabila mereka melalui latihan di luar,” kata Syed Saddiq selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

“MSN dan ISN mempunyai piawaian untuk diikut, apa yang penting adalah mendengar nasihat.

“Dasar KBS ialah kita beri hak kepada agensi, jabatan atau penganjur acara sukan itu sendiri untuk buat keputusan, tetapi nasihat daripada kita jelas, iaitu ikut nasihat yang disampaikan oleh MSN dan ISN.”

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menjelaskan pihaknya sentiasa memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Malaysia bagi memastikan atlet negara tidak terjejas dengan keadaan jerebu.

Jelasnya, jika tiada penurunan IPU menjelang penganjuran Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19) pada Oktober nanti, pihaknya akan memikirkan alternatif lain untuk menjayakan program berkenaan

“Masih terlalu awal untuk kita buat sebarang pengumuman bagi program Oktober nanti. Kita memang buat pemantauan mengenai keadaan semasa jerebu dan apa yang penting kita akan bersedia dengan pelan lain jika keadaan tidak mengizinkan," katanya.

Berita Harian X