X
Ahad, 22 September 2019 | 10:56pm
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Perak, Howard Lee Chuan How (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada bekas atlet di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Ipoh. - NSRP/Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Perak, Howard Lee Chuan How (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada bekas atlet di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Ipoh. - NSRP/Balqis Jazimah Zahari

Bekas atlet Perak boleh mohon kad kebajikan

IPOH: Bekas atlet Perak kini boleh membuat permohonan untuk mendapatkan Kad Kebajikan Bekas Atlet Perak yang disediakan khas oleh kerajaan sebagai inisiatif menyalurkan bantuan kepada bekas atlet negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, kad itu akan memberikan bantuan dalam skala kecil kepada bekas atlet Perak yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara sejak sekian lama.

“Syarat kelayakan untuk permohonan adalah bekas atlet berkenaan pernah mewakili negeri ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) dan ke atas, menjadi ahli persatuan dan juga ada keperluan,” kata Chuan How.

“Antara kelebihan pemegang kad ialah mereka boleh mendapat barisan utama ketika membuat rawatan di hospital kerajaan, diberi keutamaan ketika di bilik kecemasan dan sekiranya masuk wad akan terus dimasukkan ke wad kelas 2.”.

Howard berkata demikian pada sidang media Sports Executive Talk serta penyampaian bantuan kepada bekas atlet di Dewan Serbaguna Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Jalan Kompleks Sukan di sini hari ini.

Chuan How berkata, setakat ini sebanyak RM40,000 sudah disalurkan kepada bekas atlet yang memerlukan bantuan kesihatan dan kecemasan.

Katanya, pihaknya kini juga sedang mengumpul data senarai bekas atlet dan memerlukan sokongan semua peringkat terutama persatuan bagi mendapatkan data secara menyeluruh.

“Persatuan sepatutnya mempunyai data menyeluruh bekas atlet yang dulu pernah menyumbang kepada negeri dan negara yang mungkin susah dan memerlukan bantuan, jadi kita menyahut cabaran mereka untuk memberi kerjasama. 

"Sejak Mac lalu pihaknya sudah mula membuat perbincangan dengan beberapa pasaraya dan syarikat bagi kelestarian program kad itu.

“Ada antara pasaraya yang hendak memberi bantuan makanan dan barangan bulanan kepada pemegang kad, malah ada syarikat yang menyatakan mahu memberi bantuan khas dan istimewa untuk memberi latihan, malah mungkin akan diberi pekerjaan selepas menerima latihan,” katanya. 

Chuan How berkata, bantuan itu diharap tidak hanya setakat itu, sebaliknya pihaknya akan berbincang dengan lebih banyak rakan stratergik supaya bantuan kebajikan akan lebih meluas dapat diberikan kepada pemegang kad.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X