Ahad, 6 Oktober 2019 | 1:01pm
RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi. - Foto BERNAMA

Farah Ann tamat kemarau 16 tahun gimnastik

 

KUALA LUMPUR: Berjaya menamatkan kemarau 16 tahun untuk gimnas negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik, Farah Ann Abdul Hadi nyata gembira impiannya sejak berumur lapan tahun kini menjadi kenyataan.

Gimnas berumur 25 tahun itu mencatat sejarah sebagai gimnas ketiga negara menempah tiket ke Olimpik apabila layak ke Tokyo tahun depan selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai yang kini menjadi jurulatihnya mewakili negara pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. 

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.


Atlet Gimnastik Negara, Farah Ann. - NSTP/Owee Ah Chun

Pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman semalam, Farah Ann mengumpul keseluruhan 49.898 mata untuk mengakhiri saingan kelayakan di tempat ke-59 acara individu keseluruhan.

Dia bagaimanapun ditempatkan dalam 20 gimnas terbaik dengan tiket ke Olimpik diberikan kepada seorang gimnas bagi mewakili setiap negara.

"Di saat saya duduk menaip ketika ini, saya masih tidak dapat mempercayai kenyataan yang saya dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Ia adalah impian saya sejak berumur lapan tahun lagi dan melihat ia menjadi realiti mengundang perasaan mengagumkan," katanya dalam laman media sosial Instagram, di sini, hari ini.  

Gimnas yang berasal dari Subang Jaya itu berkata, kejayaannya adalah atas dorongan pelbagai pihak berikutan episod kekecewaannya gagal melayakkan diri ke Olimpik 2016 di Rio selepas begitu hampir memperoleh tiket automatik.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau berkata badan induk itu masih belum ada perancangan khusus buat Farah Ann namun pihaknya bercadang untuk menghantarnya untuk persiapan di Amerika Syarikat bergantung kepada bajet diperoleh.

"Kejayaan Farah Ann diharap dapat membuka mata banyak pihak yang sebelum ini mengatakan adalah mustahil bagi sukan gimnastik melayakkan diri ke peringkat Olimpik. 

“Biarpun diselubungi pelbagai isu sebelum ini, kejayaan ini juga diharap membuka mata bahawa gimnastik juga adalah sukan sebenar memandangkan ia adalah sukan nombor satu wanita berdasarkan bilangan penyertaan teramai di negara ini," katanya.

Rachel berharap lebih ramai gimnas negara termasuklah Tan Ing Yueh dan Tracie Ang akan turut mengikut jejak Farah Ann melayakkan diri ke Olimpik dengan Kejohanan Gimnastik Asia tahun hadapan di Tokyo bakal menjadi pentas terakhir merebut tiket Olimpik.

Berita Harian X