Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:31pm
Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

LTdL kekal status UCI

PUTRAJAYA: Rayuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengekalkan status perlumbaan berbasikal tertua di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 berjaya dengan perlumbaan itu akan disenaraikan ke status ProSeries Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun depan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, rayuan dibuat Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UCI berhasil apabila UCI menghantar surat pengesahan bertarikh 5 Oktober yang menyenaraikan semula LTdL antara empat jelajah memperoleh status ProSeries UCI dalam Jelajah Asia.

"UCI sudah menimbang balik LTdL akan dinaikkan semula statusnya jadi status kita tidak akan turun. Ini adalah kejayaan untuk Malaysia secara amnya," katanya selepas Mesyuarat Persiapan LTdL 2020 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Katanya, edisi ke-25 LTdL itu juga sudah diletakkan semula dalam kalendar perlumbaan UCI pada 6-15 Februari 2020 berbanding tahun ini yang dianjak penganjur, Human Voyage Sdn Bhd ke April yang dikatakan menjadi antara faktor ketiadaan pasukan berstatus WorldTeams.

"Paling kurang enam pasukan WorldTeams perlu turut serta untuk mengekalkan status ProSeries. Tahun ini penganjur bergerak memulakan persiapan lebih awal, jadi saya tak mahu fikir negatif dan berharap Human Voyage dapat memenuhi kehendak UCI," katanya.

Sejak LTdL dinaiktaraf ke status hors selama 16 tahun, Kongres UCI pada 26 September lalu memutuskan untuk menurunkan status untuk LTdL kepada 2.1 selepas perlumbaan tahun ini tidak memenuhi kriteria ditetapkan antara lainnya ketiadaan penyertaan pasukan WorldTeams dan jumlah penyiaran antarabangsa tidak mencukupi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2020, Datuk Ahmad Mustafa berkata pihaknya akan berusaha memenuhi kriteria penyertaan sekurang-kurangnya enam pasukan WorldTeams pada edisi tahun hadapan dan mengharapkan dapat membawa masuk 10 pasukan dengan status berkenaan.

"Kriteria mengekalkan status bukan sekadar penyertaan WorldTeams sahaja tetapi banyak lagi seperti penyiaran televisyen dan juga komitmen peruntukan perbelanjaan...Bagi saya apa yang sudah berlalu biarlah. 

“Kita tak nak tengok ke belakang. Sekarang pun kita bukan status hors tetapi sudah LTdL di era ProSeries pula," katanya.

Katanya, perancangan awal laluan LTdL 2020 yang akan memasuki edisi ke-25 akan menyaksikan ia bermula di Kota Kinabalu, Sabah dan ke Kuching, Sarawak sebelum kembali ke semenanjung bermula di Kuala Terengganu dan berakhir di Langkawi.

Pada Kongres UCI baru-baru ini, musim baru 2020 akan menyaksikan perlumbaan peringkat kedua selepas WorldTour dikenali status hors diubah kepada ProSeries, dengan LTdL serta hanya tiga sahaja perlumbaan Jelajah Asia - Jelajah Oman dan dua perlumbaan di China - Jelajah Qinghai Lake serta Jelajah Hainan turut disenaraikan.

Berita Harian X