Selasa, 8 Oktober 2019 | 10:35pm
Sebahagian peserta pada saingan TNF-MMTF tahun lalu.

1,900 pelari dijangka sertai TNF-MMTF 2019

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,900 pelari dari 27 negara dijangka memeriahkan The North Face Malaysia Mountain Trail Festival (TNF-MMTF) 2019 dari 13 hingga 15 Disember ini di Taiping, Perak.

Edisi kedua perlumbaan akan mempertandingkan empat kategori jarak bermula dari 10 kilometer (km), 25km, 55km dan 84km bagi mencabar kemampuan pelari.

Bagi jarak larian sejauh 10km, ia adalah sesuai untuk individu masih di peringkat awal selain kategori lebih mencabar untuk jarak 25km. 

Festival turut menawarkan dua kategori cabaran ultra iaitu 55km dan 84km.

Laluan bagi jarak 25km, 55km dan 84km turut diiktiraf International Trail Running Association (ITRA) dan disenaraikan sebagai saingan kelayakan untuk ke Ultra Trail du Mont Blanc (UTMB).

Perlumbaan juga adalah aksi penutup Kejohanan Asia Trail Master (ATM) dengan beberapa pelari termasuk dari Malaysia akan memburu kejayaan pada laluan sejauh 84km itu.

"Kami berbangga untuk menganjurkan perlumbaan kali kedua berturut-turut dengan jumlah penyertaan lebih tinggi.

"Ia menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat menerusi aktiviti seperti ini. Kami berharap mereka akan mendapat pengalaman yang bermakna tahun ini," kata penganjur perlumbaan, Ewegene Tan.

Berita Harian X