Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:07pm
Al-Sultan Abdullah ketika berangkat pulang pada Majlis Santapan Hi-Tea bersama Pasukan Hoki Negara di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Al-Sultan Abdullah ketika berangkat pulang pada Majlis Santapan Hi-Tea bersama Pasukan Hoki Negara di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Agong harap skuad hoki layak ke Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru pasukan hoki lelaki negara supaya memberi tumpuan sepenuhnya serta bekerja keras dalam pemburuan slot untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik di Jepun, Tokyo 2020 nanti.

Baginda bertitah, jika pemain semua mempunyai keyakinan tinggi, semangat bersatu hati serta bertekad memecahkan sejarah baharu, bermakna ia bukan mustahil buat pasukan hoki lelaki negara menempah tiket ke nombor satu dunia berkenaan.

“Sudah tentu harapan daripada seluruh rakyat untuk mendoakan pasukan kebangsaan berjaya ketika beraksi menentang Great Britain dan secara automatik akan menempah tiket ke Tokyo 2020 nanti,” titah Al-Sultan Abdullah.

“Walaupun akan beraksi di Great Britain dua perlawanan, saya percaya kalau kita yakin, bersatu hati serta nekad memecahkan sejarah baharu untuk ke Jepun, saya yakin kita boleh berjaya dalam hal ini.

“Sudah lama pasukan kebangsaan tidak beraksi di Sukan Olimpik. Saya dimaklumkan pada kali terakhir adalah di Sydney, Australia pada tahun 2000. Saya harap dan ini adalah harapan saya dari seorang Raja untuk melihat pasukan Olimpik beraksi di Tokyo 2020.”

Baginda bertitah demikian pada majlis minum petang bersama pasukan hoki kebangsaan yang berlangsung di Istana Negara, dekat sini, hari ini. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda turut mahu pemain-pemain melupakan episod duka ketika kegagalan meraih tiket ke Sukan Olimpik ketika Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dan Jakarta 2018.

“Apabila sebut hoki, saya begitu bangga dan sedih apabila satu ketika dulu peluang kita hendak ke Olimpik nampak cerah. Tapi itu semua cerita lama, saya tidak mahu imbas kembali apa yang penting adalah kita akan bertemu Great Britain nanti,” titah baginda.

Malaysia akan berdepan Great Britain awal bulan depan dengan pemenang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berita Harian X