Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:02pm
Pemain Australia, Dane Gavranich (kiri) berebut bola dengan pemain Jepun, Yusuke Takeishi ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Australia menang tipis ke atas Jepun

JOHOR BAHRU: Australia bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Jepun pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi kesembilan di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.

Skuad kendalian Ben Bishop yang meraih tempat ketiga pada edisi kelapan tahun lalu berhempas pulas untuk mencipta kemenangan pertama apabila anak didik Kyoichi Nagata berjaya mengimbangi kekuatan skuad Burras.

Apapun, Bishop tampak lega dengan kemenangan pertama itu tatkala membuka tirai aksi pertama dan menyifatkan Jepun bukan mudah dijinakkan apabila memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan itu.

"Perlawanan yang seimbang dan kami sudah beri persembahan terbaik, namun nasib tidak menyebelahi kami untuk menang dengan lebih selesa selepas dua kali bola terkena palang gol. Apapun kami berjaya tebus kekalahan yang dialami pada edisi tahun lalu,” kata Bishop.

"Saya akui agak kecewa dengan kegagalan melakukan penyudah menerusi pukulan sudut penalti. Kami tidak beri tekanan terhadap penjaga gol lawan dan sebab itu kami tidak mencipta jaringan.


Kapten Australia, Sam Gray (kiri) berebut bola dengan pemain Jepun, Ryuji Tamekuni ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

"Aksi seterusnya tampak getir kerana menentang Malaysia, malam esok dan sudah tentu ia perlawanan yang dinantikan kerana mereka beraksi di laman sendiri dan pemain Malaysia memiliki kemahiran dan beraksi dengan corak pantas," katanya.

Pada perlawanan itu, gol pertama dihasilkan oleh Ehren Hazel seawal minit ketiga menerusi gol padang pada aksi suku pertama. Namun Takuma Niwa bangkit menyamakan jaringan di awal suku kedua menerusi gol padang pada minit ke-16.

Bagaimanapun skuad Burras kembali mendahului pada suku kedua perlawanan apabila Hazel mencetak gol kedua peribadi menerusi gol padang pada minit ke-33. 

Ternyata skuad Samurai Muda yang ketinggalan cuba sedaya upaya untuk memburu keputusan seri namun kekentalan benteng skuad Burras menghalang anak didik Nagata mencipta jaringan penyamaan dan terpaksa menerima kekalahan pertama.

 

JADUAL PERLAWANAN PIALA SULTAN JOHOR 

Esok

Jepun mln Britain (4.05 ptg)

India mln New Zealand (6.05 ptg)

Australia mln Malaysia (8.05 mlm)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Berita Harian X