Sabtu, 12 Oktober 2019 | 8:53pm
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tiga, kanan) ketika pelepasan peserta Fit Malaysia Ride sempena Bulan Sukan Negara di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Bulan Sukan Negara mampu cecah lima juta peserta

 

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin sasaran penyertaan seramai lima juta peserta sepanjang Bulan Sukan Negara diperkenalkan tahun ini dapat dicapai.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dia melihat sambutan baik yang ditunjukkan orang ramai apabila larian Fit Malaysia Run yang berlangsung pada majlis perasmian sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2019 hari ini memperoleh 14,000 penyertaan.

"Kita lihat penyertaan sangat baik dengan pembabitan pelbagai bangsa dan agama daripada pelbagai kategori umur turut bersama hari ini dan kita mahu rancakkan sambutan Bulan Sukan Negara bukan sekadar hari ini tetapi untuk tempoh sebulan ini secara keseluruhan,” kata Syed Saddiq.

"Setiap minggu kita sudah menyusun pelbagai program dan aktiviti dengan saya akan turut menghadiri Konvensyen Sukan Wanita untuk mendengar pandangan, rintihan dan hala tuju bagaimana untuk memperkasakan golongan wanita dalam sukan." 

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM10 juta yang pertama kali diberikan khususnya bagi melahirkan lebih ramai lagi atlet wanita bertaraf dunia pada masa akan datang.

"Peruntukan RM10 juta itu tak termasuk lagi dana khas bagi persatuan sukan kebangsaan untuk memperkasakan peranan wanita yang akan disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Syed Saddiq berkata Amerika Syarikat misalnya menjadi contoh terbaik apabila pada 1980-an satu akta kesamarataan jantina dalam pembabitan sukan yang dikenali 'Title IX' diperkenalkan dan melahirkan pertambahan bilangan drastik penyertaan daripada wanita hinggalah pasukan bola sepak wanita Amerika Syarikat dinobatkan sebagai juara dunia tahun ini.

Berita Harian X