Sabtu, 12 Oktober 2019 | 11:16pm
Pemain B21 Malaysia, Akhimullah Anuar (kanan) berebut bola dengan pemain India, Yashdeep Siwach ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

India bangkit atasi Malaysia

JOHOR BAHRU: Skuad muda negara mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum tewas 4-2 kepada naib juara tahun lalu, India pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Seawal minit kelapan suku pertama, skuad remaja negara bimbingan Nor Saiful Zaini Nasirudin merungkai jaringan selepas tindakan pantas Muhammad Azhar yang melakukan pukulan deras di sebelah kiri menyaksikan Muhammad Shafiq Hassan bertindak menampan bola untuk menjaringkan gol.

Selang seminit, skuad muda negara meraih pukulan sudut penalti dan menghasilkan gol kedua menerusi Muhamad Hafizi Zainuddin yang bertindak pantas melakukan pukulan kilas susulan tolakan Muhamad Azhar.

Pada suku kedua, anak didik B J Kariappa mula menyusun gerakan untuk merapatkan jurang dan pada minit ke-18 mereka berjaya meraih penalti yang disempurnakan Rahul Rajbhar.


Pemain India, Uttam Singh meraikan jaringan selepas menewaskan penjaga gol Malaysia ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pada suku ketiga, penguasaan jelas milik India yang sering mengasak ke kubu negara dan berjaya meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-33. Pratap Lakra tidak mensia-siakan peluang terhidang itu apabila menolak bola tepat ke penjuru kiri gawang sekali gus mengikat jaringan 2-2.

India menambah jaringan pada minit ke-39 berpunca daripada kekalutan yang berlaku di dalam kawasan D dan Shilanand Lakra mudah menjaringkan gol.

Ketika aksi memasuki minit akhir perlawanan, berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan, India dengan mudah menjaringkan gol padang menerusi Uttam Singh untuk melengkapkan kemenangan 4-2.

Sementara itu, juara bertahan Britain menepati ramalan untuk mencipta kemenangan pada aksi pertama selepas menewaskan New Zealand 2-0. 

Dua gol yang terhasil skuad bimbingan Jon Bleby dalam perlawanan itu menerusi gol padang oleh Thomas Russell pada minit ke-34 dalam aksi suku ketiga dan disusuli gol padang oleh James Oates ketika aksi berbaki dua minit. 

 

Keputusan

Australia 2 Jepun 1

Britain 2 New Zealand 0

India 4 Malaysia 2

 

KEDUDUKAN           P   M   S   K    J    B    MATA

India               1   1   0   0    4    2     3

Britain             1   1   0   0    2    0     3

Australia           1   1   0   0    2    1     3

Jepun               1   0   0   1    1    2     0

Malaysia            1   0   0   1    2    4     0

New Zealand         1   0   0   1    0    2     0

Berita Harian X