Ahad, 13 Oktober 2019 | 6:12pm
PEMAIN Jepun, Kosei Kawabe (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Great Britain, Oliver Payne ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru.

Jepun mangsa kedua Britain

JOHOR BAHRU: Juara bertahan Britain meneruskan rentak kemenangan apabila menjadikan Jepun mangsa kedua selepas menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya.

Kemenangan itu cukup manis bagi menebus kekalahan 2-1 pada edisi tahun lalu namun anak didik Jon Bleby terpaksa berdepan kesukaran berdepan barisan pemain Samurai Muda tampak begitu liat dijinakkan.

Bleby menganggap perjalanan skuad bimbingannya untuk memburu slot ke final masih berliku tatkala perlu berdepan Australia, Malaysia dan New Zealand.

"Ia perlawanan yang cukup sengit dan saya amat lega kerana menang pada aksi itu. Jepun tampil garang terutama pada aksi 10 minit terakhir tapi benteng pertahanan saya beraksi dengan cemerlang untuk mereka,” kata Bleby.

"Untuk aksi seterusnya, kami akan menentang Australia dan ia juga perlawanan yang sukar kerana pasukan itu gemar beraksi secara fizikal dan kami akan membuat persiapan rapi bagi memburu kemenangan ketiga."

Pemain Britain yang memiliki kepakaran menerusi pukulan sudut tidak mensia-sia peluang yang terhidang itu apabila mencipta jaringan pada minit ke-13 selepas bola tolakan deras Ioan Wall tepat ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol Jepun, Takumi Kitagawa

Namun gol itu tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Kyoichi Nagata bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-21 perlawanan menerusi gol padang Kosei Kawabe yang berjaya menewaskan penjaga gol, Oliver Payne.

Bersambung suku ketiga, aksi Britain dan Jepun tampak seimbang tatkala kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu masing-masing dan hanya pada suku keempat Britain berjaya mencipta gol pada minit ke-47.

Ia berpunca daripada gerakan solo kapten Nicholas Park yang menyusup masuk ke kawasan D sebelum memukul tepat ke gawang menewaskan Kitagawa untuk memastikan juara bertahan itu melakar kemenangan kedua pada kejohanan itu.

 

Jadual Perlawanan Piala Sultan Johor

 

Selasa, 15 Oktober 2019

 

Britain mln Australia (4.05 petang)

Jepun mln India (6.05 petang)

New Zealand mln Malaysia (8.05 malam)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

 

 

Berita Harian X