Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:21am
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM).

PSM gantung Syahir, Zulkifli 2 tahun

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggantung dua bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 27 Jun lalu.

PSM dalam satu kenyataan berkata sepanjang hukuman itu, mereka dilarang bermain dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sepak takraw dalam dan luar negara.

Selain itu, kedua-duanya turut dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain serta pengurusan PSM.

Syahir dan Zulkifli digugurkan daripada skuad kebangsaan pada Jun lalu atas alasan disiplin, namun mereka menafikannya.

“Jawatankuasa Tatatertib PSM bersidang pada 12 Oktober dengan keputusan diangkat dan dibincangkan pada mesyuarat EXCO pada 13 Oktober pada jam 3 petang dengan keputusan sebulat suara diambil,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh itu semalam.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, dua pemain berkenaan dibenarkan membuat rayuan kepada PSM dalam masa 14 hari selepas tarikh surat dikeluarkan.

Berita Harian X