Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:37pm
JURULATIH B21 Malaysia, Nopr Saiful Zaini (tengah) memberi arahan kepada pemain pada waktu rehat perlawanan menentang Australia ketika Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2019 di Johor Bahru. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Malaysia tiada pilihan, perlu atasi NZ

JOHOR BAHRU: Hanya kemenangan ke atas New Zealand (NZ) akan menghidupkan semula peluang skuad remaja kebangsaan untuk memburu tempat ketiga saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 yang berlangsung di sini.

Apapun, mereka harus tampil lebih agresif apabila berdepan skuad kendalian Bryce Collins pada pertembungan di Stadium Hoki Taman Daya itu yang ia dianggap misi wajib menang buat anak didik Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Selepas melakar kejutan apabila mengikat 1-1 Australia, semalam, jurulatih berusia 53 tahun itu mengakui barisan pemainnya memiliki kredibiliti untuk bersaing dengan pemain berpengalaman.

"Ketika menentang Australia, saya beri kebebasan kepada pemain untuk beraksi dengan keupayaan sendiri dan mereka bermain dengan corak taktikal yang diterapkan tanpa melakukan kesilapan mudah.

"Kita perlu tingkatkan prestasi apabila menentang NZ. Jika mereka boleh beri tentangan terhadap kehebatan Australia, tidak mustahil kita mampu mengatasi New Zealand, esok,” katanya mengulas pertemuan menentang NZ esok.

"NZ dibelasah India 2-8 pada perlawanan hari ini (semalam). Justeru, kami akan kaji apa kelemahan mereka yang boleh digunakan untuk mengatasi pasukan itu. Tiga mata dari aksi ini amat penting buat kami," katanya.

Nor Saiful menegaskan sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan podium tetap tidak berubah biarpun baru mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan. Malaysia tewas 2-4 di tangan India dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Sementara itu, Collins mahu barisan pemainnya menjadikan aksi bertemu Malaysia sebagai medan kebangkitan selepas kekalahan besar 2-8 di tangan India.

“Kami akan menggunakan rehat sehari esok (hari ini) untuk mengkaji permainan Malaysia. Kami memang teruja untuk menentang Malaysia dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan menarik,” katanya.

Sebelum tewas di tangan India, NZ turut gagal mengutip mata apabila tunduk kepada Great Britain 0-2 dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

JADUAL PERLAWANAN

ESOK:

Britain mln Australia

(4.05 petang)

Jepun mln India

(6.05 petang)

New Zealand mln MALAYSIA

(8.05 malam)

* Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Berita Harian X