Isnin, 14 Oktober 2019 | 9:43pm
DARI kiri Selvaraju, Jurulatih Pistoia HC, Filippo Treno; Medda; Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Kabinet Comune Di Pistoia, Giorgio Zuccherini.

Megat D Shahriman duta hoki Itali

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin melakar sejarah sebagai individu pertama dari Malaysia dilantik menjadi duta hoki Itali di Malaysia.

Pelantikan itu bertepatan dengan status Megat D Shahriman sebagai Presiden KLHA yang muncul sebagai negeri hoki paling aktif dan menjadi tumpuan utama di tanah air selain pengaruh yang dimilikinya.

Naib Presiden Persekutuan Hoki Itali, Enrico Medda, berkata ia adalah permulaan kepada usaha sama antara kedua-dua negara dalam membangunkan sukan hoki di negara masing-masing ke tahap tertinggi.

"Hari ini adalah permulaan kerjasama antara Persekutuan Hoki Itali dan Persatuan Hoki Kuala Lumpur menerusi presidennya.

"Kami amat gembira dengan kerjasama antara kedua-dua pihak ini dan berharap dapat melaksanakan perancangan pembangunan bersama-sama bagi menjayakan sebarang acara hoki.

"Kami amat dahagakan untuk melihat peningkatan keputusan dan Persatuan Hoki Itali gembira untuk memulakan projek ini daripada Pistoia dan berharap dapat dikembangkan ke seluruh Itali dan Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, ia mungkin tidak menjadi kenyataan jika tidak kerana kepercayaan tinggi Persatuan Hoki Itali ke atas bekas penyerang negara, S Selvaraju yang sudah lima tahun mewarnai kancah liga hoki Itali.

Mereka percaya menerusi kehadiran Selvaraju menjadi antara impak yang membantu meningkatkan tahap hoki di sekali gus berharap dapat menjalankan kerjasama dua hala dengan hoki di Malaysia.

Dalam masa sama, menerusi pelantikan itu Megat D Shahriman diberikan kepercayaan sebagai 'orang tengah' untuk membina hubungan antara Pistoia dan Kuala Lumpur yang bukan hanya tertumpu kepada sukan tetapi juga terhadap perniagaan, pertukaran budaya dan perdagangan.

Sebagai rekod, Megat D Shahriman yang berusia 36 tahun baharu saja dilantik sebagai Presiden KLHA selepas memenangi pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk berkenaan pada 29 Jun lalu.

Sejak mengambil alih, beliau juga dilihat bekerja keras dalam menaik taraf hoki di Kuala Lumpur termasuk mengadakan lawatan ke Eropah bermula minggu lalu selain ke Melbourne, Australia pada Ogos lalu bagi mempelajari ilmu hoki.

Berita Harian X