Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:04pm
PELUMBA Pasukan Taiyuan Miogee Cycling Team (TMC), Jeroen Meijers (dari kiri), Pelumba Pasukan Malaysia, Sofian Nabil Omar, Pelumba Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin, Pelumba Pasukan Malaysia, Pelumba Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh dan Pelumba Pasukan Kinan, Thomas Lebas bergambar bersama selepas Sidang Media Tour of Peninsular di Hotel Permai. - Foto NSTP/Aswadi Alias

ToP 2019: Hariff, Ovechkin enggan dabik dada

KUALA TERENGGANU: Perlumbaan jelajah berbasikal Tour of Peninsular (ToP) 2019 berstatus 2.1 yang dijadual bermula esok akan menyaksikan dua pelumba pasukan benua, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) bakal menjadi tumpuan.

Menerusi dua peringkat awal dengan dua laluan landai membabitkan Dungun ke Kuala Terengganu sejauh 180.6 kilometer (km) dan Kuala Terengganu ke Chukai (157.4km), sandaran diletakkan kepada pakar pecut TSG, Mohd Harrif Salleh.

Rakan sepasukannya dari Russia, Artem Ovechkin pula menjadi pilihan utama menjuarai jersi kuning berdasarkan kemampuannya yang pernah menakluk puncak Cameron Highlands pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018.

Ketiadaan pelumba harapan dari Team Sapura Cycling (TSC), Benjamin Dyball berikutan alasan keluarga turut membuka peluang luas buat pakar pecut dari pasukan yang mengambil bahagian pada ToP 2019.

Dyball mengharungi tahun cemerlang apabila merangkul gelaran keseluruhan di LTdL dan jelajah lain, sekali gus menyaksikan dia dilamar pasukan berstatus Jelajah Dunia, Team Dimension Data yang akan dikenali sebagai Team NTT musim depan.

Mengulas mengenai penyertaan serta perlumbaan peringkat pertama yang dijadual bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Harrif berkata ia adalah terbuka buat semua pelumba.

“Peringkat pertama adalah terbuka untuk sesiapa memenanginya, bukan saja saya namun pakar pecut pasukan lain juga berkemampuan. Tapi jika beraksi di Malaysia sudah pasti saya beri yang termampu.

"Seperti LTdL April lalu (menang satu peringkat), ia bukan mustahil dan sudah pasti lebih bagus jika menang di kampung halaman,” kata Hariff pada sidang media ToP2019 yang berlangsung dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Artem Ovechkin yang kini menjadi pilihan utama menjuarai jersi kuning berkata tidak mustahil mengulangi pencapaian di Cameron Highlands LTdL 2018, sambil mengakui terdapat juga beberapa pelumba yang bagus kali ini.

"Saya meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan tiga terbaik terlebih dulu. Motivasi berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Antara pelumba lain yang dilabel mampu mencabar adalah Thomas Lebas dari Kinan Cycling Team (pemenang jersi kuning Tour of Indonesia 2019) dan Jeroen Meijers dari Taiyuan Miogee Cycling Team (pemenang jersi kuning Tour of China I).

Edisi pertama ToP anjuran Motoshoot Event Sdn Bhd menyaksikan sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian yang turut membabitkan dua pasukan kebangsaan iaitu Malaysia dan Azerbaijan.

Berita Harian X