Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:44pm
MIRABEL Ting Ern Jun

Ting, Lin tekad pertahan gelaran

SHAH ALAM: Pemain golf wanita kebangsaan, Mirabel Ting Ern Jun dan Lin Jia Hao dari China tekad untuk mempertahan gelaran masing-masing pada Kejohanan Golf Remaja  Antarabangsa AmBank-SportExcel kali ke-14 di Glenmarie Golf & Country Club di sini, esok.

Pengerusi penganjur kejohanan, C Sivanandan berkata, kejohanan tiga hari itu yang disertai 144 pemain golf remaja dari 14 negara, akan berlangsung di dua padang golf berikutan peningkatan jumlah peserta dan menambah bahawa Jepun adalah negara terbaharu yang akan mendahului perlawanan pada pertandingan tahunan itu.

Sebagai rekod, Ting dan Lin masing-masing adalah juara ‘White Tee’ dan ‘Blue Tee’ kejohanan itu pada edisi ke-13, yang diadakan di tempat yang sama tahun lepas.

“Thailand menghantar peserta paling ramai iaitu 33 peserta dan kejohanan itu menetapkan 100 peserta untuk pusingan akhir,” katanya pada persidangan akhbar sebelum kejohanan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Islamic Berhad, Eqhwan Mokhzanee dan Pengerusi SportExcel, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar turut hadir pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Sivanandan yang juga Pengarah Eksekutif SportExcel, mendedahkan bahawa johan keseluruhan, White Tee dan Blue Tee akan menerima Trofi Cabaran Tan Sri Azman Hashim, yang dinamakan sempena pengerusi Kumpulan AmBank Group.

Katanya juga, pemenang dalam kategori Pasukan Terbaik, akan menerima Trofi Cabaran Tunku Imran.

Beliau menambah bahawa pemain terbaik yang dipilih oleh panel pemilihan kejohanan itu, akan menerima biasiswa golf untuk setahun, manakala tiga pemain teratas akan ditawarkan biasiswa sebulan daripada Hills Golf Academy dari Amerika Syarikat.

“Sekiranya peserta yang terpilih enggan menerima biasiswa selama setahun itu, seperti yang berlaku tahun lepas, biasiswa berkenaan akan diberi kepada pemenang tempat kedua berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh panel pemilihan,” kata Sivanandan.

Kejohanan tahunan itu akan mempertandingkan kategori Blue Tee (Lelaki 13-14 dan 15-18 tahun), kategori White Tee (Perempuan 13-14 dan 15-18 tahun), di samping dua lagi kategori - Lelaki dan Perempuan C (11-12 tahun), dan kategori Lelaki D (9-10 tahun).

Negara yang akan menyertai kejohanan itu ialah dari India, Taiwan, Indonesia, Switzerland, China, Australia, Thailand, Amerika Syarikat, Brunei Darussalam, Filipana, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia.  - BERNAMA

 

 

 

Berita Harian X