Selasa, 15 Oktober 2019 | 2:20pm
MALEK hadir mempromosi kepingan emas Lagenda Sukan Negara yang disempurnakan Datuk Noorul Ariffin (kanan) dan Datuk Leen Mustafa (dua dari kiri) di ibu negara semalam.

Malek Noor promosi TabungX tambah dana YAKEB

KUALA LUMPUR: Diberi pengiktirafan untuk wajahnya dipaparkan dalam penjualan kad kenangan dalam bentuk kepingan emas Lagenda Sukan Negara, bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor menyeru orang ramai terutama syarikat korporat segera membeli kepingan emas itu sebagai momento yang sebahagian keuntungannya disalurkan ke Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX).

"Niat saya memang nak membantu YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) sebab itu saya memberikan kebenaran untuk digunakan dalam penjualan kepingan emas ini serta turut serta dalam mempromosikannya.

"Saya juga tidak mengambil sebarang royalti dalam penjualan kepingan emas ini dengan saya sendiri membeli tiga kepingan emas untuk simpanan peribadi," katanya ketika majlis menandatangani perjanjian antara YAKEB dan juga syarikat yang mengeluarkan kad kenangan kepingan emas, Triplenine World Gallery Sdn Bhd.

Malek adalah antara tiga legenda sukan negara yang dipilih untuk dimuatkan dalam kad kenangan kepingan emas Lagenda Sukan Negara dengan Datuk M Rajamani (olahraga) dan Datuk Ng Joo Ngan (lumba basikal) turut terpilih pada kali ini.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata hasil jualan kepingan emas itu akan disalurkan kepada ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX) yang akan digunakan bagi menampung keperluan bekas atlet kebangsaan terutama sekali dalam membiayai kos perubatan yang semakin meningkat.

"Selepas ini kita bercadang untuk mengeluarkan kepingan emas edisi kedua yang akan memaparkan bekas olahragawan atau olahragawti sukan dengan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dan juga Datuk Nicol Ann David (skuasy) ada di dalam perancangan kami," kata Noorul Ariffin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Triplenine World Gallery, Datuk Leen Mustafa berkata syarikatnya tidak mengambil sebarang keuntungan terhadap penjualan keluaran edisi pertama bagi YAKEB itu bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kami membuat pengeluaran yang terhad iaitu 999 keping bagi setiap gambar Lagenda Sukan Negara dan menggalakkan syarikat korporat boleh membeli dengan jumlah yang besar kerana kami bercadang untuk memberinya kepada syarikat itu ketika majlis perasmiannya pada Jumaat ini," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli kepingan emas seberat 0.5 gram dengan berharga RM165 itu boleh membuat tempahan ke pejabat YAKEB di talian 03-20924841/4844

Berita Harian X