Jumaat, 18 Oktober 2019 | 8:06pm
SYED Saddiq bersama bekas atlet kebangsaan, Datuk M Rajamani (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Kad Kenangan "Gold Bar" Lagenda Sukan Negara, di Bawah Inisiatif Pengumpulan Dana, kempen Tabung Yakeb for X-Athlete (#TabungX), di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. NSTP/Aziah Azmee.

YAKEB lancar kad kenangan legenda sukan negara

PUTRAJAYA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) hari ini melancarkan kad kenangan legenda sukan negara dalam bentuk kepingan emas dengan menyasarkan jualan sebanyak 3,000 keping.

Pengeluaran kad kenangan untuk jualan yang julung kali diwujudkan itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai Skim Bantuan Khas YAKEB kepada bekas atlet negara.

Usaha terbaru YAKEB itu mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hadir menyempurnakan majlis pelancarannya.

Menurut Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, walaupun baharu saja dilancarkan, pihaknya sudah menerima kira-kira 500 tempahan setakat ini.

"Ia adalah edisi terhad yang mana kami hanya mengeluarkan 999 keping kad kenangan bagi setiap atlet. Reka bentuknya memaparkan gambar lama dan baharu tiga bekas atlet negara beserta pencapaian mereka dengan tersemat kepingan emas 0.5 gram dengan setiap satu berharga RM165.

"RM30 daripada hasil jualan terbabit akan disalurkan kepada TabungX manakala pembeli yang menyimpan kad boleh menjual semula di pejabat POS," katanya.

Beliau berkata demikian sejurus ditemui pada Majlis Pelancaran Kad Kenangan 'Gold Bar' Legenda Sukan Negara di Menara KBS, petang tadi.

Edisi awal kad kenangan itu boleh didapati dalam tiga versi berbeza iaitu yang memaparkan bekas juara enam kali bina badan Asia,Datuk Malek Nor, Datuk M Rajamani (olahraga) dan atlet lumba basikal, Datuk Ng Joo Ngan.

Tempahan boleh dibuat dalam talian atau menguhubungi YAKEB di talian Hotline 0129996006 atau 03- 20924841 atau e-mel ke [email protected] serta [email protected].

Bayaran tunai atau pindahan bank pula boleh dibuat menerusi akaun CIMB Yayasan kebajikan Atlet Kebangsaan 8000644425 dan akan menerima produk dalam tempoh lima hari bekerja.

Pengeluaran Kad Kenangan "Gold Bar" dijalankan secara usahasama dengan pihak Triplenine World Gallery.

 

 

Berita Harian X