Khamis, 31 Oktober 2019 | 3:52pm
Cheslin Kolbe. - Foto Reuters
Cheslin Kolbe. - Foto Reuters

Springboks tagih kudrat Kolbe hadapi England

TOKYO: Skuad ragbi Afrika Selatan (Springboks) kembali menyenaraikan pemain sayap Cheslin Kolbe dalam skuad utama untuk aksi final Piala Dunia Ragbi menentang England di Yokohama pada Sabtu ini selepas pulih kecederaan buku lali.

Kolbe terlepas aksi Springboks menentang Kanada dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini susulan kecederaan buku lali dan terpaksa dikeluarkan ketika menentang Jepun dalam saingan suku akhir sebelum menjadi ‘pemerhati’ ketika menewaskan Wales 19-16 pada peringkat separuh akhir.

"Cheslin kembali cergas dan akan memperkasakan pasukan,” kata Erasmus dalam sidang akhbar hari ini.

"Kami agak bergelut pada separuh akhir tetapi aspek yang bagus dalam skuad ini ialah kami kekal memiliki kekuatan menyeluruh.”

"Cheslin pemain bertaraf dunia dan dia membuktikannya setiap kali beraksi.”

Kapten, Siya Kolisi tampil kali ke-50 pada final yang bakal menyaksikan dia berentap dengan dua pemain England, Tom Curry and Sam Underhill.

"Banyak perkara berkaitan emosi selepas dia menjadi kapten pertama berkulit hitam,” kata Erasmus mengenai pelantikan Kolisi tahun lalu.

"Dia membuktikan kemampuannya sebagai kapten selain pemain yang bagus. Tetapi prestasinya terjejas sedikit dan kemudiannya mengalami kecederaan.

“Tetapi dia kini bersedia untuk final. Ia perlawanan ke-50 untuknya dan sudah pasti detik yang indah.”- Reuters

 

Berita Harian X