Jumaat, 1 November 2019 | 8:21pm
Ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli semasa pulang dari Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 di Kuwait selepas berjaya mengungguli dua gelaran, memenangi kategori keseluruhan dan juga kategori lelaki keseluruhan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Shalin di landasan lebur rekod Sukan SEA

SEPANG: Ratu boling negara, Shalin Zulkifli kini berada pada landasan tepat untuk memecahkan rekod sebagai pemenang pingat emas paling banyak pada pentas Sukan SEA.

Ketika ini rekod 30 tahun itu dipegang oleh bekas perenang negara, Nurul Huda Abdullah dengan 22 emas yang dilakukan antara 1983 hingga 1989.

"Saya perlu dapatkan tiga lagi (pingat emas). Bukan mudah kerana kurangnya kejohanan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebentar tadi, sejurus tiba dari Kuwait bersama skuad negara yang menyertai Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25.

Pada kejohanan berkenaan Malaysia muncul juara keseluruhan selepas memenangi enam emas, satu perak dan empat gangsa manakala Korea Selatan sebagai naib juara (tiga emas, empat perak dan empat gangsa) manakala China di tempat ketiga.

Mengulas lanjut, Shalin yang kini berusia 41 tahun, mengakui terkejut apabila dipilih mewakili skuad negara ke Sukan SEA Filipina pada hujung bulan ini.

"Alhamdulillah. Saya tidak jangkakannya sebab ranking saya rendah. Kami akan cuba buat yang terbaik di sana nanti," katanya.

Berita Harian X