Sabtu, 2 November 2019 | 7:51pm
AFRIKA Selatan mengatasi England 32-12 menerusi permainan corak serangan efektif untuk menjulang trofi ketiga Piala Dunia Ragbi di Jepun. - Foto AFP

Springboks julang Piala Dunia Ragbi

YOKOHAMA, Jepun: Afrika Selatan mengatasi England 32-12 menerusi permainan corak serangan efektif untuk menjulang trofi ketiga Piala Dunia Ragbi di sini, hari ini.

Skuad dengan julukan Springboks itu menampilkan persembahan bertenaga yang menyaksikan ‘fly-half’ Handre Pollard menyempurnakan enam penalti dengan Makazole Mapimpi dan Cheslin Kolbe melakukan try pada minit ke-66 dan 74.

Kejayaan itu mengesahkan kemenangan ketiga Afrika Selatan dalam tiga aksi final Piala Dunia dan menamatkan kemarau 12 tahun kejuaraan selepas turut menjulang gelaran sama pada 1995 dan 2007.

Kemenangan turut menyaksikan Afrika Selatan muncul pasukan pertama memenangi Piala Dunia selepas tewas perlawanan pertama peringkat kumpulan apabila mereka tunduk kepada penyandang juara, New Zealand.

Selain pendekatan taktikal yang digunakan jurulatih, Rassie Erasmus yang mengambil alih jawatan dua tahun lalu susulan prestasi hambar Springboxs pada 2016, pasukan itu turut mendapat inspirasi daripada Siya Kolisi yang menjadi kapten kulit hitam pertama pasukan itu.

“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Afrika Selatan,” kata Kolisi. “Kami berdepan begitu banyak masalah di negara kami tetapi dengan pasukan seperti ini, yang hadir daripada pelbagai latar belakang, pelbagai bangsa tetapi kami bersatu dengan satu sasaran dan kami mahu mencapainya.

“Saya benar-benar berharap kami melakukannya untuk Afrika Selatan. Menunjukkan yang kami boleh berjuang bersama-sama jika kamu mencapai sesuatu.”

Bagi England, pertembungan dengan Afrika Selatan dilihat cukup sukar selepas mengharungi perlawanan suku akhir yang sengit menentang Australia dan separuh akhir bertemu New Zealand.

Selepas dimalukan dengan penyingkiran seawal pusingan pertama Piala Dunia di laman sendiri empat tahun lalu, England melantik jurulatih dari Australia, Eddie Jones tetapi ia tidak dapat menghalang pasukan itu daripada mengharungi kekalahan ketiga dalam empat aksi final. - AFP

 

Berita Harian X