Ahad, 3 November 2019 | 9:00am
DUA pemain Malaysia cuba mengekang kemaraan pemain Great Britain dalam aksi pertama kelayakan akhir di Stadium Lee Valley, London, pagi tadi.

Peluang hoki tipis ke Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Hajat skuad hoki negara untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tipis selepas tewas 1-4 kepada Great Britain dalam aksi pertama kelayakan akhir di Stadium Lee Valley, London, pagi tadi.

Kekalahan besar itu menyaksikan jurulatih Roelant Oltmans kini tiada pilihan selain perlu mencari formula memulihkan segera moral anak-anak buahnya kurang 22 jam sebelum turun dalam aksi kedua, malam ini.

Dalam aksi berkenaan, Malaysia mengejutkan Britain seawal minit keenam hasil gol biasan Nabil Fiqri Mohd Noor yang menyambar tolakan susulan pukulan sudut penalti Razie Rahim.

Gol itu meningkatkan keyakinan barisan pemain negara yang tampak lebih berbahaya di separuh masa pertama dengan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil dan Norsyafiq Sumantri jelas menjadi ancaman utama Britain walaupun perlu beraksi di bawah cuaca 10 darjah selsius.

Bagaimanapun, Britain kembali lebih bertenaga khususnya pada suku ketiga bermula dengan gol penyamaan minit ke-33 Sam Ward dan Phil Roper selang dua minit kemudian.

Penyerang Alan Forsyth menambah derita negara pada minit ke-42 selepas berjaya membaca kuisan pantas James Gall untuk menewaskan penjaga gol negara S Kumar.

Gall kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya Britain sekali gus menyaksikan tugasan menggunung menanti anak-anak buah Oltmans pada malam nanti.

Jika gagal, bermakna kemarau ke Sukan Olimpik negara berpanjangan menjadi 24 tahun selepas kali terakhir mara pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Malah, sembilan pemain dalam skuad kali ini juga berdepan kemungkinan sekali lagi gagal mara ke pentas Olimpik selepas menempuh detik memilukan pada 2015.

Aksi pada malam nanti menjadi talian hayat akhir dimiliki pasukan ranking ke-11 dunia itu selepas membuang peluang keemasan melayakkan diri menerusi tiket Sukan Asia Jakarta 2018.

Berita Harian X