Ahad, 3 November 2019 | 10:30am

ASEAN, FIFA meterai MoU

BANGKOK: ASEAN dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjadikan sukan bola sepak sebagai pemangkin kepada pembangunan sosial dan gaya hidup sihat di rantau ini.

Jalinan kerjasama itu ditandatangani oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, ketika berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Pusat Konvensyen dan Pameran IMPACT di sini, semalam.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh pemimpin 10 negara anggota ASEAN termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

FIFA dalam kenyataan berkata, MoU itu merangkumi pelbagai bentuk kerjasama dengan tumpuan terhadap pendidikan khususnya pelaksanaan program Bola Sepak FIFA Untuk Sekolah bagi meningkatkan kemahiran hidup dan pendidikan jasmani menerusi bola sepak di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, FIFA dan ASEAN akan bekerjasama dalam pelaksanaan strategi bersama bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan penyertaan inklusif membabitkan bola sepak, terutama golongan wanita dan masyarakat terpinggir.

Bidang fokus kerjasama lain termasuk mempromosikan keselamatan kanak-kanak dalam sukan bola sepak serta menambah baik integriti sukan dengan meningkatkan kesedaran mengenai permainan yang adil dan bersih serta memerangi manipulasi perlawanan dan gejala doping.

Sementara itu, Lim berkata, bola sepak mengikat 650 juta penduduk di rantau ini sebagai satu komuniti.

“Bola sepak adalah kaedah strategik untuk menyatukan rakyat, mempromosikan hubungan ​​​​​​​antara rakyat dan menjadikan ASEAN sebagai satu komuniti yang kukuh,”​​​​​​​ katanya pada majlis itu.

Dalam pada itu, Infantino berkata, bola sepak adalah komponen penting dalam pembangunan sosial, integrasi dan nilai kesukanan di rantau ini.

Beliau berkata, sukan berkenaan memberi harapan dan ​​​​​​​keseronokan kepada golongan belia di rantau ini.

“Kita tidak sabar melihat sebuah komuniti bola sepak dan kesukanan yang lebih kuat di rantau ini,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X