Ahad, 3 November 2019 | 5:16pm
Roelant Oltmans.

Roelant mahu elak 'tragedi' berulang

KUALA LUMPUR: Selain memburu gol awal, pengendali skuad hoki negara Roelant Oltmans berharap anak didiknya mengelak mengulangi persembahan lesu babak kedua awal pagi tadi apabila turun untuk aksi timbal balik kedua menentang Great Britain, malam ini.

Malaysian Tigers wajib memburu kemenangan besar selepas mengalami kekalahan 4-1 kepada pasukan gergasi nombor tujuh dunia itu dalam aksi pertama di Stadium Hoki Lee Valley.

"Britain berhak untuk menang aksi pertama dengan apa yang mereka tunjukkan walaupun saya akui defisit itu cukup berat bagi kita. 

"Pada dua suku yang pertama kita bermain dengan cukup baik, tetapi selepas itu kita mula membuat kesilapan demi kesilapan antaranya berlari dengan bola dan tidak menghantar kepada pemain yang dalam kedudukan lebih baik.

“Sudah tentu kita perlu mengubah permainan di separuh masa kedua, dan cuba mencari dua gol awal dalam perlawanan kedua untuk memberikan mereka tekanan, kita masih ada 60 minit dan kita tidak mahu mengalah," katanya.

Pemenang daripada aksi timbal balik kelayakan akhir ini akan menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan Malaysia pastinya berharap keajaiban berlaku pada malam ini.

Malaysia di ranking ke-11 dunia memperagakan permainan separuh masa pertama membanggakan pada awal pagi tadi termasuk mendahului lawan seawal minit keenam menerusi jaringan padang Nabil Fiqri Mohd Noor.

Malah, mereka langsung tidak terjejas dengan cuaca sejuk 10 darjah selsius apabila melancarkan beberapa percubaan berbahaya terutamanya di suku pertama selain berupaya mematahkan gerakan Britain di kawasan lawan.

Namun, gawang negara yang dikawal S Kumar akhirnya bocor tiga minit sejurus bersambung babak kedua dan sejak daripada itu Malaysian Tigers mula kehilangan fokus untuk membenarkan Britain menghasilkan empat gol dalam tempoh 15 minit.

Berita Harian X