Ahad, 3 November 2019 | 10:04pm
Pasukan SSTMI Tsunami Juniors ceria selepas muncul juara kategori bawah 16 tahun Kejohanan Ragbi Antarabangsa Super KGV 10 Sepasukan 2019 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV), Seremban. - NSTP/Mohd Amin Jalil

SSTMI Tsunami Juniors pamer kehebatan

SEREMBAN: Pasukan SSTMI Tsunami Juniors dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor menjuarai kategori utama lelaki bawah 16 tahun Kejohanan Ragbi Antarabangsa Super KGV 10 Sepasukan 2019, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) itu, SSTMI muncul pemenang selepas menewaskan SBPI Jempol Negeri Sembilan, 14-5.

Selaku penyandang juara, pemain pasukan itu jelas memperagakan aksi lebih mantap untuk mengekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut sejak 2016, sekali gus memastikan trofi kejuaraan kekal di SSTMI.

    

Biarpun diberikan tentangan sengit, namun mereka ternyata memiliki kekuatan tersendiri dan ia diakui sendiri jurulatih SSTMI, Syed Shazril Syed Mahadzir yang menyifatkan saingan kali ini lebih sukar dijangka.

    

"Sepanjang penyertaan kami di pentas final kejohanan ini, ini kali pertama kami bolos. Pasukan lawan jelas memberikan tentangan begitu sengit.

    

"Cuma kali ini sedikit kelemahan apabila kami lambat melakukan serangan balas, namun saya amat lega dan puas hati kerana pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk mengekalkan kejuaraan," katanya ketika ditemui selepas kejohanan.

    

Bagi kategori perempuan bawah 16 tahun, Kelab SDAHA dari Johor menewaskan Putat Lions dari Kedah, 4-0, untuk dinobatkan selaku juara kategori berkenaan.

    

Pasukan SMKGV tidak ketinggalan meletakkan nama sebagai pemenang apabila mendominasi kategori lelaki bawah 13 tahun selepas mengenepikan Bandar Mas Johor, 12-0.

    

Sebanyak 219 pasukan mewakili sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah kebangsaan (SK) dari seluruh negara selain Thailand dan Sri Lanka menyertai kejohanan berprestij anjuran SMKGV dan mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan, yang bermula sejak Jumaat hingga hari ini.

    

Enam kategori umur dipertandingkan bagi lelaki iaitu bawah 11 hingga bawah 16 tahun manakala empat kategori bagi pasukan perempuan membabitkan bawah 11, 12, 14 dan bawah 16 tahun.

    

Berita Harian X