Isnin, 4 November 2019 | 9:07am

Skuad hoki kempunan ke Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Impian skuad hoki negara untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkubur di London apabila tewas 5-2 kepada Great Britain dalam aksi kedua malam tadi.

Kekalahan di Stadium Hoki Lee Valley itu menyaksikan Malaysian Tigers akur secara agregat 9-3 selepas terdahulu tumpas 4-1 dalam aksi pertama kelmarin.

Penyerang Britain kelahiran Scotland, Alan Forsyth muncul wira apabila meledak hatrik sekali gus meranapkan harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau 20 tahun ke Sukan Olimpik.

Kali terakhir skuad negara menjejak kaki ke temasya terbesar dunia itu adalah pada edisi 2000 di Sydney.

Sekalipun cuba bangkit dua kali merapatkan kedudukan ketika ketinggalan 2-0 menjadi 2-1 dan 3-1 kepada 3-2, ia tidak cukup untuk menghalang Britain.

Jelas pasukan gergasi nombor tujuh dunia itu bukan tandingan Malaysia tatkala lawan tampak baik daripada segenap aspek terutamanya taktikal yang lebih tersusun.

Malaysia pula lebih banyak bergantung kepada skil individu yang sudah dapat dibaca lawan selain taktikal jurulatih Roelant Oltmans yang tidak menjadi.

Malah, barisan pemain Malaysia gagal menterjemahkan gesaan Oltmans untuk mencari dua gol awal sekiranya mahu ke Olimpik, sebaliknya Britain terlebih dulu berada di depan.

Maruah Malaysia bagaimanapun diselamatkan Fitri Saari dan Razie Rahim yang masing-masing menghasilkan gol pukulan sudut penalti minit ke-24 dan 40.

Bagaimanapun, pujian tetap perlu diberikan kepada barisan pemain negara kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi.

Berita Harian X