Isnin, 4 November 2019 | 10:25pm
PEMAIN Wilayah Kuala Lumpur, Nur Ain Fazira Ahmad Latifi (kiri) cuba mendapatkan bola di halang pemain Negeri Sembilan pada aksi Bola Jaring Kebangsaan Ke-41 di Stadium Juara, Bukit Kiara. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

KL mula langkah kanan

KUALA LUMPUR: Percaturan menyenaraikan barisan pemain bawah 21 tahun tidak memberi kesan kepada pasukan Kuala Lumpur (KL) dalam usaha mempertahankan gelaran pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-40 yang bermula hari ini.

Turun selaku pasukan pilihan, KL unggul apabila menewaskan Perak 48-21 dalam perlawanan pembukaan di sebelah pagi dan menewaskan Negeri Sembilan 46-21 dalam satu lagi saingan Kumpulan A.

Jurulatih, Norizan Rajab berkata beliau meminta supaya kesemua 16 pemain yang akan diturunkan pada Sukan Malaysia 2020 di Johor bermain mewakili Kuala Lumpur pada Kejohanan Kebangsaan kali ini bagi memberi pendedahan kepada pemainnya.

"Pada perlawanan kedua (melawan Negeri Sembilan) tadi kelihatan perlawanan agak sengit dengan kedudukan mata yang hampir pada permulaan perlawanan mungkin disebabkan pemain yang belum dapat mendapatkan kecergasan semula selepas jarak pertandingan yang hampir dengan perlawanan pertama.

"Biarpun kami sudah menewaskan Perak dan Negeri Sembilan, saya lihat kedua-dua pasukan ini mempamerkan corak permainan yang menarik dan antara pasukan pilihan yang bakal memberi tentangan kepada pasukan lain di kejohanan ini," katanya kepada BH di sini hari ini.

Dalam aksi menentang Negeri Sembilan, WPKL bermula agak perlahan biarpun mengakhiri set pertama dengan mendahului 21-13 sebelum bangkit pada set kedua dengan menambah 25 mata lagi sementara Negeri Sembilan menambah lapan mata lagi. 

KL yang meletakkan Nur Fatin Hadirah Abdul Hamid sebagai kapten dikuatkan lagi dengan tiga pemain remaja kebangsaan iaitu Leisharaani S Jewa, Nur Amisya Khairuddin dan Nurdiyanah Noor Sabadinee.

Norizan berkata biarpun mereka menewaskan Perak pada perlawanan pembukaan tadi, beliau percaya Perak mempamerkan permainan yang menarik dan adalah antara pasukan yang perlu diberi perhatian pada kejohanan kali ini.

Keputusan

Kuala Lumpur mn Perak 48-21

Terengganu mn PDRM 35-49N

egeri Sembilan mn Pahang 38-28

Johor mn Melaka 43-14

KL mn Negeri Sembilan 46-21

Terengganu mn Melaka 41-30

Perak mn Pahang 29-20

PDRM seri Johor 33-33

Berita Harian X