Rabu, 6 November 2019 | 5:44pm
Dr Pekan (tengah) bersama Dr Afandi (dua dari kiri) dan Mohamed Faid (kiri) pada sidang media Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10, di Kementerian Pendidikan Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

1,200 sertai kejohanan silat antarabangsa, seni asli IPT

PUTRAJAYA: Seramai 1,200 pesilat tempatan dan antarabangsa bakal berentap pada Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka ke-10 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat pada 25 hingga 30 November ini.

Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan dan UTHM serta mendapat kerjasama daripada Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) itu membabitkan penyertaan keseluruhan daripada 96 pasukan yang mewakili 11 negara.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Unit Sukan, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar, Kementerian Pendidikan, Dr Pekan Ramli berkata 70 pasukan berkenaan termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Belanda dan Yaman akan berentap bagi kategori institusi pengajian tinggi (IPT) antarabangsa manakala bakinya kategori tempatan.

Katanya, sebanyak 33 pasukan pula menyertai kategori seni silat asli terbuka dalam kejohanan yang mempertandingkan lima kategori dan menawarkan 49 pingat emas secara keseluruhan itu.

“Antara objektif penganjuran adalah bagi menguji pesilat IPT agar dapat diketengahkan sebagai skuad pelapis kebangsaan, selain memberikan pendedahan dan pengalaman kepada atlet terbabit untuk berdaya saing dengan pesilat lain khususnya dari luar negara.

“Semua pesilat tempatan yang bertanding membabitkan pasukan Malaysia B dan berpeluang untuk menyinar menerusi kejohanan berprestij seumpama ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM, Prof Madya Dr Afandi Ahmad dan EXCO PESAKA, Mohamed Faid Musa.

Sementara itu, Dr Afandi berkata kejohanan berkenaan dapat menjadi platform untuk melahirkan bakat baharu dalam sukan warisan berkenaan.

“UTHM akan meneruskan kesinambungan memartabatkan sukan berkenaan di sekolah seluruh negara selaras hasrat kementerian untuk merakyatkan universiti," katanya.

Pada edisi terdahulu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) bergelar juara untuk kategori IPT tempatan manakala pasukan Malaysia bergelar juara untuk kategori IPT antarabangsa.

Berita Harian X