Rabu, 6 November 2019 | 8:50pm
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada sidang media selepas penutupan Bengkel Penetapan Sasaran Kontinjen Sukan SEA 2019 Filipina, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Kita boleh raih 76 emas di Filipina - Ahmad Shapawi

KUALA LUMPUR: Jika atlet berjaya mengekalkan prestasi yang sama pada Sukan SEA 2017 kontinjen negara dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenangi 76 pingat emas pada temasya di Filipina hujung bulan ini, sekali gus mengatasi rekod pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di luar negara.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata hanya 76 emas daripada keseluruhan 145 pingat itu yang dimenangi kontinjen negara pada temasya lalu, kekal dipertandingkan pada Sukan SEA di Filipina.

"Sebanyak 76 pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2017 ada dipertandingkan pada kali ini di Filipina. Jadi, kita boleh lihat sama ada atlet kita boleh kekalkan kemenangan mereka pada Sukan SEA 2017.

"Sementara 69 acara lagi tidak dipertandingkan pada kali ini. Ini bermakna lebih kurang 50 peratus emas yang dimenangi tidak dipertandingkan pada kali ini berbanding 2017," katanya selepas penutupan Bengkel Penetapan Sasaran Kontinjen Sukan SEA 2019 Filipina, di sini hari ini.

Untuk rekod, kontinjen negara bakal menyertai 386 daripada keseluruhan 531 acara yang menawarkan pingat emas di Filipina dengan membabitkan penyertaan sebanyak 52 daripada 56 jenis sukan yang dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi berkata hasil keputusan daripada penetapan sasaran hanya akan diumumkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang pada hari terakhir perhimpunan akhir kontinjen negara di Bangi, 21 November ini.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata sasaran itu nanti bakal menyaksikan kontinjen negara seramai 1,137 atlet dan pegawai berada di landasan tepat bagi mengatasi rekod pungutan emas terbanyak dalam temasya dwi tahunan yang diadakan di luar Kuala Lumpur iaitu ketika Sukan SEA 2017 di Korat dengan memenangi 68 emas.

"Tidak ada istilah bercuti atau pergi sertai seperti ujian percubaan. Kami akan pergi dan bertarung sepenuhnya. Biarpun kita kehilangan 69 emas (tidak dipertandingkan), tetapi kita tak ada pilihan selain berusaha 200 peratus," katanya.

Berita Harian X