Rabu, 6 November 2019 | 11:58pm
AN Najwa Azizan

Komitmen tinggi perlu pertahan emas bola jaring di Filipina

KUALA LUMPUR: Komitmen yang tinggi amat diperlukan tidak kira sama ada daripada pemain lama atau baharu dalam usaha skuad bola jaring negara mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Filipina, kata An Najwa Azizan.

“Tidak kira lama atau baharu, selagi semuanya mengikut kepada perancangan dan strategi yang diberi jurulatih, ia tidak memberi sebarang masalah," kata pemain sensasi negara itu ketika ditemui pemberita pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41 di Stadium Juara, di sini hari ini.

Temasya Sukan SEA Filipina dijadual berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

An Najwa mengakui berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dua pemain baharu, Khairunnisa Nazri dan Noor Azilah Aziz sepanjang tempoh latihan.

Beliau yakin mereka mampu membantu skuad negara menjulang gelaran juara di temasya dwitahunan itu.

"Saya berpuas hati bukan sahaja dengan pemain baharu tapi juga dengan semua rakan sepasukan,” katanya.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad negara di bawah kendalian Tracey Robinson menamatkan kemarau 31 tahun meraih pingat emas selepas menewaskan Singapura 65-41 di pentas final.

Senarai pemain ke Sukan SEA Filipina - An Najwa Azizan, Norashikin Kamal Zaman, Karishma S.Loganathan, Khairunnisa Nazri, Izyan Syazana Mohd Wazir, Nur Syafazliyana Mohd Ali, Nurfariha Abdul Razak, Pow Mei Foong, Noramirah Dayana Noor Azhar, Noor Azilah Aziz, Siti Nor Farhana Mustafa dan Shandralelka Shanmugam. - BERNAMA

Berita Harian X