Rabu, 13 November 2019 | 6:38pm
KHAIRY Jamaluddin

MWRF akui Khairy bukan timbalan presiden

 

KUALA LUMPUR: Keraguan berhubung pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) akhirnya terjawab apabila badan induk itu mengakui wujud kesilapan daripada pihak mereka.

Justeru itu, Setiausaha MWRF, Dr Ang Kean Koo mengesahkan, badan induk berkenaan sudah bermesyuarat dan bersetuju untuk membuat pindaan terhadap kedudukan Khairy.

Tindakan itu dibuat selepas menerima nasihat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) sekali gus menyelesaikan isu yang sudah berlarutan berbulan-bulan itu.

"Selepas mendapat nasihat daripada PPS, pihak MWRF akur dan bersetuju untuk membuat pindaan untuk mengeluarkan nama Khairy sebagai Timbalan Presiden MWRF.

"Jadi, ia bermakna beliau kini hanya bergelar ahli biasa persatuan. Kami akui wujud kesilapan dan pembetulan akan dibuat nanti," katanya.

Isu ini dibangkitkan sejak Julai lalu berpunca daripada kemelut melanda Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi penggal 2019-2023.

Kini timbul persoalan sama ada status Khairy untuk bertanding sebagai Presiden MPM masih sah atau tidak selepas borang penamaan calon dihantar menyatakan beliau sebagai Timbalan Presiden MWRF.

Pada masa sama, MWRF juga mungkin bakal berdepan tindakan disebabkan ketidakpatuhan mengikut perlembagaan diperakui Pesuruhjaya Sukan.

 

 

Berita Harian X