Rabu, 20 November 2019 | 5:48pm
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelihatan mengutip sampah selepas kejayaan Harimau Malaya menewaskan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Gambar ihsan Twitter Syed Siddiq Syed Abdul Rahman
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelihatan mengutip sampah selepas kejayaan Harimau Malaya menewaskan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Gambar ihsan Twitter Syed Siddiq Syed Abdul Rahman

Stadium kita, rumah kita - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Harimau Malaya menewaskan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelihatan mengutip sampah dalam usahanya memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kebersihan stadium.

Menerusi media sosial termasuk Facebook, Instagram dan Twitter, Syed Saddiq yang memakai jersi Harimau Malaya kelihatan memegang plastik sampah berwarna hijau mengutip sampah di bahagian penonton yang sudah kelihatan kosong ketika itu.

"Stadium Kita. Rumah Kita. Kebersihan kita melambangkan budaya kita," kata keterangan gambar yang dimuat naik itu.

Terdahulu di sebelah petangnya, Syed Saddiq yang bertemu dengan penyokong Indonesia turut mengingatkan penonton yang hadir supaya menjaga kebersihan dan membuang sampah di tong sampah berdekatan.

Perlawanan semalam yang disaksikan lebih 80,000 peminat menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Usaha Syed Saddiq untuk mengajak orang ramai menjaga kebersihan stadium bukanlah kali pertama apabila pada Julai tahun lalu, beliau juga dirakam mengutip sampah selepas berakhirnya final Piala FA antara Pahang menentang Selangor juga di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berita Harian X