Ahad, 24 November 2019 | 10:53pm
Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof Datuk Dr S Shamala. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Lihat kegagalan ke Olimpik secara positif - Shamala

MELAKA: Kegagalan skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu dilihat pada sudut positif dan penambahbaikan perlu dilakukan agar skuad Speedy Tigers bangkit semula untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof Datuk Dr S Shamala berkata kegagalan itu dijadikan kayu pengukur dan pengajaran bagi memperbaiki kelemahan agar impian ke Sukan Olimpik seterusnya dapat direalisasikan.

Beliau meminta peminat dan barisan pemimpin serta pengurusan skuad hoki negara supaya tidak terus merendahkan moral pemain susulan kegagalan ke Sukan Olimpik 2020, sebaliknya memberi semangat kepada pasukan untuk fokus menghadapi Sukan Asia dan Piala Dunia 2022.

"Kita tidak boleh duduk murung...kita perlu 'move forward', bekerja keras mencari lebih banyak pelaburan untuk pembangunan skuad hoki negara dan mesti ada semangat yang kuat bahawa kita boleh dan percaya akan layak ke Sukan Olimpik pada masa hadapan kerana cabaran seterusnya akan semakin sukar.

"Kegagalan memang akan mengecewakan rakyat khususnya peminat sukan, tetapi pasukan kita sudah buat yang terbaik. Dari segi jalan ke Sukan Olimpik telah begitu dekat tetapi ia berliku untuk capai ke tahap itu," katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung dwi tahunan Persatuan Hoki Melaka ke-22 di sini, semalam.

Shamala berkata kegagalan itu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya ke atas bahu pemain sebaliknya pelbagai faktor turut menyumbang kepada kekalahan Speedy Tigers ketika perlawanan menentang Great Britain pada kelayakan akhir aksi play-off di London, awal bulan ini.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan skuad hoki negara ialah keadaan cuaca yang terlalu sejuk sehingga memberi kesan pada pemain untuk memberi aksi cemerlang.

Impian skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas 20 tahun terkubur apabila tewas 2-5 kepada Great Britain pada aksi play off kedua kelayakan terakhir di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London, pada 3 November lalu. Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam The Malaysian Tigers 4-1 pada perlawanan timbal balik pertama pada 2 November.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Olimpik adalah pada temasya Sydney 2000, yang mana pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam kalangan 12 negara yang bertanding.-- BERNAMA

Berita Harian X