Ahad, 1 Disember 2019 | 5:46pm
AZIZULHASNI akhiri saingan Piala Dunia di Hong Kong apabila terkandas di pusingan kedua acara pecut lelaki. NSTP/Adzlan Sidek
AZIZULHASNI akhiri saingan Piala Dunia di Hong Kong apabila terkandas di pusingan kedua acara pecut lelaki. NSTP/Adzlan Sidek

Azizulhasni gagal peraga kayuhan bertenaga

KUALA LUMPUR: Selepas lebih kurang tiga bulan tidak beraksi dalam sebarang kejohanan, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang mengakhiri saingan Piala Dunia di Hong Kong apabila terkandas di pusingan kedua acara pecut lelaki yang berlangsung di Velodrom Hong Kong, hari ini.

Tidak menyertai dua siri awal di Belarus dan Britain baru-baru ini, Azizulhasni memulakan aksi kelayakan acara pecut dengan merekodkan catatan di bawah 10 saat (s) apabila merekodkan 9.841s untuk meletakkannya di tempat ke-13 seterusnya mara ke pusingan pertama.

Pusingan pertama juga menyaksikan pelumba dari Dungun, Terengganu itu tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pelumba Amerika Syarikat, James Mellen sebelum tunduk kepada pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya yang cemerlang mencatatkan 9.939s dalam pusingan seterusnya.

Kali terakhir beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Korea Selatan pada Ogos lalu, siri Piala Dunia pada musim ini adalah penting bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 Rio untuk mengutip semaksima mungkin mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Semalam, Azizulhasni menamatkan saingan keirin di tempat keenam dengan merekodkan masa terpantas 9.948s.

Seorang lagi pelumba negara, Fatehah Mustapa bagaimanapun terkandas di pusingan pertama keirin wanita dan tidak berjaya melayakkan diri pada pusingan repechage.

Siri Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Cambridge, New Zealand pada 6 hingga 8 Disember ini, diikuti di Brisbane, Australia (13-15 Dis) dan Milton, Kanada (24-26 Januari 2020).

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X