Selasa, 3 Disember 2019 | 6:30pm

Pesilat negara tumbang

 

SUBIC: Usaha pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir untuk mempertahankan pingat emas Kelas B Putra (50-55kg) Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut berakhir dengan terlantar di hospital.

Bukan saja tewas besar 5-0 kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan di hujung aksi pusingan kedua tetapi pesilat berusia 31 tahun itu turut dilanyak teruk sehingga tidak sedarkan diri.

Ia selepas Dumaan bertindak menendang Faizul yang sudah terbaring ketika itu.

 

Malangnya, dia kemudian dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata.


Muhammad Faizul Nasir tidak sedarkan diri ketika beraksi dalam acara silat tanding kelas B lelaki di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay, Subic. - NSTP/Aizuddin Saad

Insiden itu menyaksikan Faizal dikejarkan ke hospital berdekatan Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay - Hospital James L Gordon.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika hadir menyaksikan perlawanan membabitkan atlet negara selepas insiden itu berkata, beliau dimaklumkan keadaan Faizul masih belum stabil.


Aksi atlet pencak silat kebangsaan, Muhammad Faizul Nasir (kiri) menentang atlet Filipina, Dines Dumaan di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay, Subic. - NSTP/Aizuddin Saad

"Setakat ini saya dimaklumkan dia sedang menerima rawatan. Setakat ini tiada sebarang pelawat dibenarkan untuk melawatnya.

"Kami perlu menunggu dulu maklum balas dari pihak hospital. Daripada pihak pengurusan kontinjen mereka sentiasa berhubung dengan pihak hospital untuk memantau keadaan. Jika dibenarkan saya sendiri akan melawat Faizul di hospital," katanya.

Atlet pencak silat kebangsaan, Muhammad Faizul Nasir dibawa ke hospital selepas tidak sedarkan diri ketika beraksi dalam acara silat tanding kelas B lelaki di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay, Subic. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X