Selasa, 3 Disember 2019 | 9:00pm
Pegawai perubatan memeriksa tahap kecederaan Faizul ketika beraksi dalam acara tanding putra kelas B, petang tadi. - NSTP/Aizuddin Saad
Aksi Faizul (kiri) ketika menentang Dines Dumaan di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay. - NSTP/Aizuddin Saad
Faizul dibawa keluar selepas tidak sedarkan diri. - NSTP/Aizuddin Saad

Faizul sudah sedarkan diri

CLARK: Pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir disahkan mula sedarkan diri tetapi masih dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas 'tumbang' ketika menentang atlet Filipina, Dines Dumaan, petang tadi.

Terdahulu, Faizul mencetuskan suasana panik di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay selepas tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Baypointe di Subic.

Ia ekoran tindakan susulan Dumaan melepaskan tendangan di muka semasa atlet negara berusia 31 tahun itu dalam keadaan terbaring di lantai gelanggang.

Menurut pengurus pencak silat negara, Zaihan Mohd Isa, daripada maklumat awal doktor Institut Sukan Negara (ISN), Faizul dikhabarkan sudah sedarkan diri.

"Saya turut ke hospital tetapi tidak dibenarkan memasuki bilik rawatan namun doktor ISN yang boleh melawatnya mengatakan Faizul sudah sedar tetapi tidak dapat memberikan tindak balas.

"Dan dia kini sudah dipindahkan ke Hospital Pakar Clark City. Sekarang kami sedang menunggu keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan)," katanya.

Dengan kekalahan itu, bermakna impian Faizul untuk meraih pingat emas hatrik tidak kesampaian apabila gagal ke separuh akhir dalam acara tanding putra kelas B itu.

Berita Harian X