Khamis, 5 Disember 2019 | 9:11pm
RATU gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi. NSTP/Osman Adnan
RATU gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi. NSTP/Osman Adnan

Permintaan Farah Ann...

MANILA: Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul berharap Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dapat mempertimbangkan untuk membawa rakan sepasukannya bersama jika berhasrat menghantarnya menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Farah menjadi atlet gimnastik pertama melayakkan diri ke temasya berprestij itu sejak Au Li Yen melakukannya pada Olimpik Sydney 2000 apabila melepasi kelayakan di Kejohanan Dunia di Stuggart, Oktober lalu.

Dia turut membuktikan reputasinya di rantau Asia Tenggara selepas membawa pulang tiga pingat emas pada Sukan SEA 2019 yang menjadi pencapaian terbaiknya di temasya dwitahunan itu.

"Fokus tahun ini adalah Sukan SEA, saya akan berehat sebentar sebelum kembali membuat persiapan bagi Olimpik.

"Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang terbaik (sebagai persiapan ke Olimpik).

"Saya sedar MGF mempunyai perancangan untuk menghantar saya menjalani latihan di AS. MGF cuba melakukan yang terbaik untuk membantu saya terutama selepas saya layak ke Olimpik.

"Saya harap rakan sepasukan saya juga dapat menyertai sekiranya saya dihantar menjalani latihan di luar negara kerana kami adalah satu pasukan.

 "Saya selesa menjalani latihan dengan rakan sepasukan dan jurulatih saya. Mereka banyak membantu saya dan kami bagai satu keluarga besar.

 "Apapun saya akan membuat keputusan apa yang terbaik untuk diri saya dan pasukan," kata Farah yang turut mengakui tidak pasti sama ada beraksi pada Sukan SEA seterusnya disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.

Pada Sukan SEA kali ini, skuad gimnastik artistik negara cemerlang apabila menang empat daripada lima emas yang ditawarkan.

Berita Harian X