Selasa, 10 Disember 2019 | 2:47pm
IZZAH Amzan menunjukkan pingat yang dimenanginya. - Foto BERNAMA
IZZAH Amzan menunjukkan pingat yang dimenanginya. - Foto BERNAMA

Izzah dapat semula emas

CLARK: Bantahan kontinjen Malaysia untuk mendapatkan semula pingat emas atlet gimnastik, Izzah Amzan mendapat perhatian Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Ini selepas ketua kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengesahkan Izzah akan mendapat semula pingat yang dimenanginya dalam acara riben Sukan SEA 2019.

Menurutnya, PHISGOC menerima protes dikemukakan kontinjen Malaysia dan akan menambah semula pungutan emas negara.

"Mereka bersetuju dengan klausa dalam buku peraturan Sukan SEA dan akan memulangkan semula emas itu.

"Alhamdulillah… Saya bersyukur kerana mereka setuju untuk memulangkannya semula. Selewat-lewatnya petang ini akan dimasukkan semula dalam pungutan pingat," kata Megat.

Terdahulu, kontinjen negara menerima tamparan selepas emas dimenangi secara Izzah dalam acara riben, Sabtu lalu ditarik balik biarpun diumum sebagai pemenang bersama dengan rakan senegara, Koi Sie Yan.

Sebaliknya, Izzah sekadar diberikan perak berdasarkan kedudukan pingat terbaru yang disiarkan di laman web rasmi Sukan SEA 2019 Filipina.

Berita Harian X