Selasa, 24 Disember 2019 | 5:04pm
PRESIDEN MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. NSTP/Asyraf Hamzah.
PRESIDEN MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. NSTP/Asyraf Hamzah.

MPM mahu tuntut ganti rugi

 

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sedang meneliti kemungkinan untuk menuntut ganti rugi terhadap Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) susulan keputusan saat akhir mereka menangguhkan temasya dwi-tahunan 2020 itu.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata tuntutan itu antara perkara dipertimbangkan pihaknya selepas mengambil kira kerugian ditanggung kontinjen Malaysia.

Bagaimanapun, katanya keputusan itu bergantung kepada hasil perbincangan dengan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) di Bangkok, Thailand 6 dan 7 Januari nanti.

"Sebenarnya saya sedang mencari jalan untuk membuat tuntutan ganti rugi selain berharap APSF kenakan hukuman berat ke atas tuan rumah Filipina termasuk menggantung mereka.

"Ia perlu supaya perkara ini tidak lagi berulang di masa depan dan memastikan temasya ini tidak diambil remeh-temeh," katanya.

Pada Jumaat lalu, APSF menerusi satu kenyataan menyatakan kekurangan bajet dan kelewatan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada PHILAPGOC menjadi punca temasya dwitahunan itu terpaksa ditangguhkan.

Sukan Para Asean ke-10 itu pada asalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Januari 2020 namun atas masalah dihadapi ia dicadang diadakan pada 20 hingga 28 Mac depan.

Pengumuman saat akhir itu mencetuskan rasa berang beberapa negara yang menganggap ia sebagai tidak masuk akal memandangkan banyak wang sudah dibelanjakan termasuk menempah pelbagai kemudahan serta penerbangan dan hotel.

Jelas Megat D Shahriman, keputusannya untuk menuntut ganti rugi bukanlah bagi mencari keuntungan tetapi bagi menampung kerugian ditanggung MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan atlet Para sendiri.

"Ada sesetengah atlet yang sudah memohon cuti panjang dan tidak mendapat elaun, jadi sebab itu saya akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan ganti rugi daripada tuan rumah.

"Sebagai presiden menjadi tugas saya untuk melindungi atlet negara dan berkhidmat untuk mereka.

"Dalam kes tiket kapal terbang, siapa yang akan bayar ganti rugi... Kita dah tempah untuk dua kapal terbang membabitkan 369 atlet dan mungkin jumlah itu berkurangan kerana ada atlet yang perlu menumpukan diri terhadap persiapan ke Sukan Olimpik. Jadi siapa yang akan bayar ganti rugi itu?," soalnya.

Berita Harian X