Khamis, 26 Disember 2019 | 10:37pm
Pemenang kategori Terbuka Lelaki 84km, Kristian Joergensen dari Denmark ceria ketika menghampiri garisan penamat.
Pemenang kategori Terbuka Lelaki 84km, Kristian Joergensen dari Denmark ceria ketika menghampiri garisan penamat.

TNF-MMTF 2019 lebih prestij, meriah

TAIPING: Lebih 2,100 peserta dari 35 negara berkumpul di Bukit Larut, di sini bagi menyertai larian The North Face - Malaysia Mountain Trail Festival 2019 (TNF-MMTF 2019) sekaligus penyertaan teramai untuk edisi kedua, baru-baru ini.

 

Edisi kali ini menyajikan empat kategori untuk pelari denai iaitu13 kilometer (km), 25km, 55km dan 84km untuk menguji ketahanan fizikal peserta di laluan yang amat mencabar serta mempunyai pelbagai darjah ketinggian iaitu 610 meter (m)1,440m, 3,250m dan 5,290m mengikut kategori yang ditetapkan.

 

Kategori 13km adalah jarak yang sesuai untuk pelari ditahap awal yang juga dikenali sebagai 'Freshman Run', sementara jarak baru iaitu 25km dikenali sebagai 'Ball Breaker Run' serta turut menawarkan dua versi Cabaran Ultra iaitu 55km dan 84km.

Para peserta TNF-MMTF 2019 bersemangat ketika memulakan perlumbaan.
Para peserta TNF-MMTF 2019 bersemangat ketika memulakan perlumbaan.

 

Kategori perlumbaan 25km, 55km dan 84km diperakui oleh International Trail Running Association (ITRA) dan sudah dimasukkan dalam senarai perlumbaan yang layak untuk perlumbaan ‘Ultra Trail du Mont Blanc’ (UTMB) yang terkenal di dunia.

 

Kristian Joergensen, 35, dari Denmark muncul pemenang kategori Terbuka Lelaki 84km selepas melepasi garisan penamat dengan masa 10 jam 22:24 saat (s).

"Saya berasa sangat bagus (atas kemenangan), kerana ia adalah siri kejohanan ATM (Asia Trail Master) dan ada ramai pelari yang hebat. Oleh itu, saya agak terkejut apabila saya menang," kata Joergensen.

"Saya tahu saya sudah berlatih dengan tekun dan badan saya dalam keadaan yang cergas. Laluan ini sangat sukar, tetapi juga sangat istimewa dan indah kerana dapat mengharungi hutan dan rimba."

 

Pemenang kategori Terbuka Wanita 84km ialah Veronika Vadovicova, 29, dari Slovakia dengan catatan masa 11:34:42s.

 

Selepas kejayaan menganjurkan edisi pertama TNF-MMTF tahun lalu, larian denai bukanlah satu-satunya agenda penganjur dengan sasaran utama adalah untuk mengumpulkan komuniti pelari denai dari seluruh dunia melalui larian, muzik dan makanan di lokasi rasmi, Spritzer EcoPark.

 

"Kami menerima jumlah penyertaan yang luar biasa tahun ini dan kami berbangga dengan semua pelari yang berjaya sampai di Taiping dan juga menamatkan perlumbaan.

"Daripada 2,100 pelari, lebih daripada 1,800 adalah rakyat Malaysia. Ini membuktikan bahawa semakin ramai rakyat negara ini menjalani gaya hidup aktif sambil melancong dalam negara untuk menikmati keindahan tanah air mereka, " kata penganjur TNF-MMTF, Ewegene Tan.

 

TNF-MMTF kali ini juga adalah perlumbaan akhir musim bagi siri Kejohanan ATM 2019, di mana juara baru juga dinobatkan di Taiping.

Ia sekaligus menaikkan taraf larian denai ultra atau larian "ultra-trail" ke tahap yang lebih tinggi di Malaysia, kerana terdapat beberapa pesaing ternama, termasuk beberapa pelari dari Malaysia, yang bersaing untuk mata ATM sepanjang tahun ini di 14 negara Asia.

 

John Ellis, 41, dari Australia dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori lelaki ATM manakala Vadovicova menjurai kategori wanita.

"Saya sangat gembira dan juga agak penat. Ia satu musim perlumbaan yang panjang. Saya sudah mengharungi sembilab perlumbaan dan ia satu persaingan yang sangat mencabar dan tiada ruang berehat," kata Ellis.

TNF-MMTF dianjurkan oleh MMTF Consultant, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Spritzer, Yayasan Keamanan Global Perdana dan Larut Matang Hash House Harriers dan Harriets.

Berita Harian X