Khamis, 9 Januari 2020 | 5:42pm
MEGAT D. Shahriman Zaharudin ketika sidang media pada pelancaran pasukan lelaki dan wanita Hockademy yang akan beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Lembah Pantai. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
MEGAT D. Shahriman Zaharudin ketika sidang media pada pelancaran pasukan lelaki dan wanita Hockademy yang akan beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, Lembah Pantai. - Foto NSTP/Owee Ah Chun

Penangguhan Sukan Para ASEAN jejas sasaran pingat

KUALA LUMPUR: Penangguhan Sukan Para ASEAN kepada Mac depan bukan saja menyebabkan jumlah kontinjen negara berkurangan tetapi juga menjejaskan sasaran pingat ke temasya dwitahunan itu.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata ia antara kesan yang perlu ditanggung kontinjen negara selepas tarikh baharu temasya itu bertembung dengan beberapa kempen kelayakan Sukan Olimpik 2020.

"Antaranya Kejohanan Dunia yang menawarkan pungutan mata untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo.

"Saya difahamkan antara yang terbabit adalah sukan olahraga, memanah dan badminton. Apapun senarai akhir jumlah kontinjen akan diumumkan pada pertengahan Februari," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Megat, sasaran terbaru pingat pada temasya itu hanya akan diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

"Apa yang pasti ia akan berkurangan mengikut kekuatan kontinjen negara," katanya.

Megat baru pulang dari Bangkok, semalam bagi mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) selepas temasya sukan itu tangguhkan dari bulan 18 hingga 24 Januari ke Mac.

APSF menerusi satu kenyataan hujung bulan lalu menyatakan kekurangan bajet dan kelewatan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) menjadi faktor temasya itu ditangguhkan.

Berita Harian X