Sabtu, 18 Januari 2020 | 12:25am
Jurulatih THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (tengah) dan kakitangan pasukan THT terpaksa mengangkut air sebelum perlawanan di Stadium Hoki Tun Razak petang tadi.

Dhaarma 'kerja sambilan' siram padang

KUALA LUMPUR: Pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan pegawai pasukannya terpaksa mengangkut air untuk menyiram sebahagian padang sebelum aksi Liga Perdana Hoki berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak petang tadi.

Dhaarma ketika dihubungi berkata, berlaku kerosakan pada paip penyembur air menyebabkan kawasan di tengah padang kering.

"Mereka (pengurusan stadium) kata paip rosak, sedang dibaiki, bila paip sembur air bahagian di tengah padang tidak kena," kata Dhaarma.

"Saya suruh mereka cari baldi untuk tuang air tetapi tidak jumpa. Jadi kami terpaksa guna bekas minuman pasukan untuk siram air di bahagian itu.

"Saya sudahlah tidak cukup pemain, jika ada yang cedera kerana keadaan ini, habislah saya."

Dhaarma dihubungi bagi mendapatkan kepastian berkenaan gambarnya dan pegawai pasukan mengangkut air di tengah padang sebelum perlawanan menentang UiTM petang tadi.

Gambar-gambar berkenaan dipercayai diambil oleh peminat hoki tempatan yang juga bekas pemain.

Berita Harian X