Jumaat, 20 March 2020 | 11:00am
PRESIDEN MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto Owee Ah Chun

Malaysia sokong teruskan Olimpik

KUALA LUMPUR: Semua Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) Asia termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengundi untuk menyokong keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mahu meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan di sebalik ancaman terhadap penularan COVID-19.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan dan jaminan diberikan IOC pada persidangan video bersama semua wakil NOC Asia yang berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 4 petang, semalam.

Pada persidangan video itu, IOC diwakili presiden, Thomas Bach.

“Sokongan yang diberikan semua NOC termasuklah MOM adalah selepas mereka mengenal pasti keresahan dibangkitkan daripada semua NOC. Mereka memberi jaminan dan pencerahan terhadap masalah-masalah membabitkan kesihatan dan keselamatan.

“Mereka juga maklumkan masih ada tempoh empat bulan setengah lagi sebelum Olimpik Tokyo 2020 bermula dan mereka akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua berjalan dengan lancar.

“Sebab itu, semua wakil NOC mengundi untuk menyokong keputusan itu termasuklah China, Jepun, Korea Selatan dan India,” kata Norza kepada BH Sukan.

Semalam, BH Sukan melaporkan MOM berpendirian Olimpik Tokyo 2020 wajar ditangguhkan sekiranya penularan COVID-19 bertambah serius sehingga memberi ancaman kepada atlet dan pegawai yang bertanding.

Ini selepas IOC mengeluarkan kenyataan yang tiada sebarang keputusan drastik akan dibuat berhubung penganjuran Olimpik Tokyo 2020 biarpun diselubungi ancaman COVID-19 sebaliknya akan meneruskan temasya itu mengikut jadual asal.

MOM turut membangkitkan persoalan mengenai proses kelayakan atlet ke temasya itu selepas hampir semua kejohanan di seluruh dunia ditangguhkan susulan penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Norza berkata pada persidangan video itu IOC memaklumkan mereka sudah mengadakan perbincangan dengan semua persekutuan sukan antarabangsa yang terbabit dengan Olimpik untuk mengemukakan perancangan baharu bagi melakukan perubahan dalam proses kelayakan.

“Pada awal April, semua persekutuan sukan antarabangsa perlu kemukakan cadangan mereka kepada IOC mengenai perubahan yang akan dilakukan bagi proses kelayakan. Jadi, akan ada perubahan membabitkan proses kelayakan dan kita akan menunggu untuk perkara itu,” katanya.

Berita Harian X