X
Jumaat, 20 March 2020 | 10:00pm
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Saifullizan Tamadi
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong. - Foto Saifullizan Tamadi

Zolkples pening kepala pendirian MOM

KUALA LUMPUR: Dua kenyataan bercanggah dalam tempoh singkat membuatkan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ‘pening kepala’ dengan pendirian sebenar Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Zolkples tertanya-tanya mengenai pendirian MOM berhubung penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas badan induk itu mengundi untuk menyokong keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mahu meneruskan temasya berkenaan mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan meskipun ancaman terhadap penularan COVID-19 masih belum reda.

Keputusan itu jelas bertentangan dengan apa dinyatakan presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza sehari sebelum itu, yang berpendirian temasya wajar ditangguhkan sekiranya penularan COVID-19 bertambah serius dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan atlet dan pegawai.

Zolkples berkata, isu COVID-19 adalah satu masalah serius yang dihadapi seluruh dunia dan baginya MOM tidak boleh membuat keputusan secara terus dan harus mendapatkan pandangan daripada pihak berwajib seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

“Kita kena berpandukan pada situasi semasa, buat masa ini kita boleh lihat yang keadaan semakin hari semakin ramai dijangkiti. Ini bukan masalah (kepada industri) sukan saja, ini masalah semua negara.

“MOM juga kena rujuk dulu dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan kerajaan. Tidak perlu terburu-buru mereka buat pendirian sekarang untuk sokong IOC dan hantar atlet ke Olimpik,” kata Zolkples.

Untuk rekod, Malaysia pernah memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai bantahan kepada pencerobohan rejim Kesatuan Soviet terhadap Afghanistan dan ketika itu pasukan bola sepak negara melayakkan diri ke temasya berkenaan.

Begitupun bagi Zolkples, beliau yakin atlet yang sudah melayakkan diri ke Tokyo memahami keadaan semasa ketika ini sekiranya temasya ditangguhkan atau dibatalkan.

“Tidak ada apa-apapun, bagi saya sukan bukan satu keperluan yang utama, nyawa atlet itu lebih penting kerana mereka tiada galang gantinya,” kata Zolkples.

Berita Harian X