Ahad, 22 March 2020 | 2:39pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. - NSTP/Asyraf Hamzah

KBS utamakan kesihatan, keselamatan kontinjen

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan mendapatkan pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad berhubung penganjuran Sukan Olimpik Tokyo yang sebelum ini dilaporkan berlangsung mengikut jadual asal dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini, Reezal berkata pihak kementerian kekal konsisten dengan pendirian yang aspek keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai adalah keutamaan mereka.

“Walaupun pendirian itu mendapat reaksi pelbagai pihak, namun masih belum ada kepastian dan keputusan yang muktamad tentang status penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya juga mengambil maklum bahawa IOC sudah mengadakan satu sesi persidangan video baru-baru ini untuk mendapat pandangan dari 45 buah negara benua Asia melalui Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) masing-masing, di mana Malaysia diwakili oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga ahli gabungan IOC.

“Di akhir sesi berkenaan, kesemua 45 negara termasuk Malaysia menyokong keputusan IOC untuk meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual buat masa kini. 

“Saya juga sudah dimaklumkan oleh Presiden MOM sendiri bahawa undian sokongan berkenaan adalah tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya, pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan. Keduanya, aspek  kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan.

“Yang ketiga, semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman Covid-19 dari semasa ke semasa.

“Di samping itu, IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206 negara sebagai ahli gabungan perlu dan akan mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad. Walau bagaimanapun, saya percaya IOC dan semua negara anggota akan mengambil langkah wajar dengan mengambilkira pandangan dan cadangan WHO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global COVID-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

“Oleh yang demikian, saya memberi jaminan bahawa KBS dan MOM akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan soal dan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara dan pegawai diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat nanti berhubung dengan penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Reezal.

Khamis lalu, semua NOC Asia termasuk MOM mengundi untuk menyokong keputusan IOC yang mahu meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos depan di sebalik ancaman terhadap penularan COVID-19.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan dan jaminan diberikan IOC pada persidangan video bersama semua wakil NOC Asia yang berlangsung selama satu jam setengah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X