Selasa, 24 March 2020 | 3:47pm
DATUK Lee Chong Wei. - Foto Yazit Razali
DATUK Lee Chong Wei. - Foto Yazit Razali

Nasihat Chong Wei

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2020, Datuk Lee Chong Wei meminta semua atlet negara kekal tenang dan bersedia tanpa memperdulikan kemelut yang melanda berikutan wabak COVID-19 hingga menukarkan keputusan dibuat bagi terus menganjurkan Olimpik Tokyo 2020.

Chong Wei turut meminta semua atlet terutama yang sudah layak supaya jangan mengalah dan kekal cergas bagi menghadapi sebarang kemungkinan apa yang berlaku dalam tempoh terdekat ini.

“Pada masa ini, kita perlu berada di rumah. Buat senaman, duduk di rumah dan pastikan tahap kesihatan serta keselamatan… itu yang paling penting,” katanya kepada BH Sukan.

Beliau bagaimanapun sedia menunggu keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selepas badan induk berkenaan menyatakan penangguhan temasya di Tokyo itu sebagai antara pilihan mereka akibat pandemik COVID-19.

Semalam, IOC menyatakan penangguhan Olimpik 2020 adalah antara pilihan yang perlu dipertimbangkan akibat wabak berkenaan tetapi pembatalan temasya di Tokyo itu sama sekali tiada dalam agenda mereka.

Malah atas kebimbangan, Jawatankuasa Olimpik Kanada selepas itu mengumumkan negara itu tidak akan menghantar atlet ke Tokyo manakala Jawatankuasa Olimpik Australia sudah memberitahu atlet untuk bersedia menghadapi saingan Tokyo pada 2021.

Pengumuman Kanada dan Australia itu dibuat selepas IOC menyatakan kesediaan mereka sama ada untuk membuat penangguhan atau sebaliknya terhadap Tokyo 2020 dalam tempoh empat minggu akan datang.

“Sekarang ini, saya rasa belum muktamad lagi, belum ada pengumuman,” kata Chong Wei yang turut menunggu maklumbalas dan perkembangan lanjut daripada IOC dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Untuk Olimpik, kita lihat apakah yang akan diumumkan dan juga keputusan oleh IOC, Jepun dan juga MOM nanti.

“Di media sosial, Jepun sudah mengeluarkan berita yang mereka akan membincangkan perkara ini. Kanada dan Australia juga sudah membuat keputusan mereka.

“Jadi ia sesuatu yang besar (yang harus dipertimbangkan) untuk Olimpik di Jepun. Apapun, kita akan tunggu.”

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X